Juara Sepak Takraw MSSD Tawau 2014 Tumpas

Pasukan KV Tawau A dan B yang bersaing dalam kejohanan kali ini...
Berbekalkan dengan latihan selama dua minggu yang merangkumi latihan intensif selama seminggu, Kolej Vokasional Tawau menghantar dua pasukan untuk Kejohanan Sepak Takraw Peringkat MSSD Tawau pada 29 - 31 Januari 2015 yang lalu. Kejohanan ini berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Tawau.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan kolej ditempatkan dalam kumpulan A dan B. Pasukan KV Tawau A berada dalam kumpulan yang sama dengan pasukan SMK Abaka B, SMK Wakuba, SMK Pasir Putih dan SMK Kabota manakala Pasukan KV Tawau B bersama pasukan SMK Kuhara A, SMK Titingan dan SMK Balung A.


Dari kiri: Cikgu Ahmad Hussain, Cikgu Mohd Aras dan Cikgu Awalluddin menggalas tugas memimpin pasukan Sepak Takraw Kolej Vokasional Tawau pada tahun ini...
Kedua-dua pasukan KV Tawau tdak menghadapi masalah dalam perlawanan kumpulan apabila berjaya mara ke suku akhir. Pada perlawanan suku akhir, pasukan KV Tawau A mengalami masalah apabila feeder pasukan ini tercedera dan terpaksa digantikan dengan pemain simpanan. Walaupun terpaksa berhempas pulas, namun pasukan KV Tawau A akur untuk menamatkan saingan pada peringkat suku akhir ditangan pasukan SMK Balung B. Pasukan KV Tawau B pula mencatatkan kemenangan 2-0 terhadap lawan di suku akhir dan beraksi di pusingan separuh akhir menentang Pasukan SMK Balung B. Semangat selaku juara bertahan ternyata memberikan kelebihan kepada Pasukan KV Tawau B untuk mara ke pusingan akhir dengan kemenangan 2-0.

Antara aksi perlawanan yang sempat dirakamkan semasa perlawanan ke-2 peringkat kumpulan menentang Pasukan SMK Balung A
RISAU | Jurulatih dan pengurus agak risau dengan prestasi yang ditunjukkkan pasukan KV Tawau B dalam set ke-2
Dalam perlawanan akhir, Pasukan KV Tawau B seperti tidak bermaya apabila tewas 0-2 kepada Pasukan SMK Balung A yang pernah ditewaskan dengan 2-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan. Walau bagaimanapun, semangat juang yang ditunjukkan sehingga ke mata penentuan memberikan harapan besar buat pengurus dan jurulatih pasukan yang bakal membawa pasukan yang sama ke Kejohanan VOKTEK di Kolej Vokasional Labuan kelak.

Walaupun tidak berjaya mengekalkan kejuaraan, gelaran Naib Juara peringkat MSSD Tawau bakal menggegarkan pihak lawan di kejohanan VOKTEK nanti...


Barisan pasukan yang mungkin beraksi di Kejohanan VOKTEK nanti...
Penghargaan selaku Naib Juara MSSD Tawau telah disampaikan sendiri oleh Pengarah, Encik Ranggiah dalam Majlis Perhimpunan Mingguan pada hari ini.