Guru pemangkin keseimbangan akademik, akhlak cemerlang

KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan (dua dari kiri), menyampaikan cenderamata kepada Idris (dua dari kanan), sambil diperhatikan Ketua Persatuan Penulis Kuala Lumpur, Datuk Amiruddin Md. Ali dua dari kanan), Datuk Soohaimi Shahdan (kanan) dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Antarabangsa Rohana Kamaruddin (kiri), pada majlis Gema Puisi Guru 2015. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab guru sebagai pendidik, pembimbing dan pembentuk akhlak murid tidak akan terhenti sampai bila-bila. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata namun, guru pada masa kini berdepan cabaran yang lebih hebat susulan perkembangan teknologi, pendedahan yang lebih luas dalam kalangan murid dan harapan ibu bapa yang berbeza membawa kepada perlunya pendekatan yang lebih dinamik.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin guru tetap akan boleh memainkan peranan dengan berkesan dan Kementerian Pendidikan akan sentiasa menyokong usaha mereka. "Tema Hari Guru tahun ini adalah amat tepat dan sesuai kerana ia menggambarkan peranan guru yang cukup penting tanpa mengira waktu atau zaman. 

"Sebelum ini saya pernah menyebut kepentingan formula A2 (akademik dan akhlak) iaitu mencapai keseimbangan dari segi akademik dan akhlak demi mencapai kecemerlangan dalam kalangan pelajar. 

"Saya percaya bahawa gurulah yang memainkan peranan dalam membawa kepada keseimbangan demi merealisasikan kecemerlangan itu," katanya. Kerjaya yang suci dan mulia Kemuncak sambutan Hari Guru tahun ini akan diadakan Dewan Wawasan, Jitra, Kedah yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Sabtu ini. Idris berkata, beliau sentiasa mengatakan bahawa guru adalah kerjaya yang suci dan mulia kerana mereka ibarat pelukis dan anak muridnya umpama kain putih yang bakal dicorakkan dengan ilmu dan akhlak melalui didikan yang diberi. 

"Mungkin inilah sebabnya saya tertarik hati dan ditakdirkan berkahwin dengan seorang guru. "Ia memberi saya peluang secara dekat melihat bagaimana isteri saya memainkan peranan sebagai guru dengan bersungguh-sungguh di sekolah dan pada masa sama sebagai seorang ibu kepada lima orang cahaya mata kami," katanya. 

Berkongsi pengalaman menyambut hari guru sewaktu bergelar pelajar, Idris berkata hari berkenaan memberi peluang kepada beliau dan rakan untuk membuat acara persembahan kepada guru termasuk membaca sajak, puisi dan menyanyi untuk mereka. Katanya, walaupun setiap hari beliau dididik supaya menghormati dan menyayangi guru, Hari Guru dianggap istimewa kerana hanya pada hari berkenaan pelajar berpeluang menyambut guru secara khusus. 

Main peranan besar

"Saya berasa seronok apabila dapat melihat guru menyanyi lagu tema Hari Guru, membaca ikrar dan melakukan persembahan lain," katanya. Idris berkata, Cikgu Ali atau turut dikenali sebagai Ali Uban, iaitu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh di Terengganu, Cikgu Lau Hut Yee, guru Sains dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak adalah dua guru yang memainkan peranan besar kepadanya sewaktu bergelar pelajar. 

Katanya, Cikgu Ali adalah insan yang mendorongnya untuk terus cemerlang hingga ke sekolah berasrama penuh (SBP) STAR. "Beliau juga rapat dengan keluarga saya dan mendorong mereka supaya menyokong hasrat saya untuk ke SBP. "Cikgu Lau Hut Yee pula mengajar dengan penuh komitmen, bersemangat dan tanpa penat lelah. Kami masih berhubung dari semasa ke semasa dan saya menjumpai beliau baru-baru ini ketika sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.

Selanjutnya di: http://www.bharian.com.my/node/54700