Kamalanathan Tidak Lupakan Jasa Cikgu

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kamalanathan | Foto oleh BERNAMA (http://mynewshub.cc/)

PUTRAJAYA 12 MEI - WALAUPUN telah mening­galkan alam persekolahan kira-kira 30 tahun lalu, tetapi beberapa guru yang pernah mengajarnya masih segar dalam ingatan Timbalan Menteri Pendidi­kan, P. Kamalanathan.

Antaranya, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing, Rawang di Selangor yang digeruni kerana sering membawa rotan.

Mengakui beliau sebagai seorang murid yang agak nakal dan sederhana pencapaian di sekolah, Kamalanathan berkata, beliau ka­dang-kala merungut mengenai se­gelintir guru yang terlalu tegas.

Walaupun berasa kurang senang, Kamalanathan kini berasa terhutang budi apabila mengenang jasa yang ditaburkan guru ke atas hidupnya.

“Saya bukan seorang murid yang cemerlang tetapi cikgu-cikgu sen­tiasa memberi motivasi dan meng­galakkan saya berusaha lebih ber­sungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Kamalanathan berkata, kefasihannya berbahasa Melayu umpamanya merupakan hasil dorongan dan motivasi daripada seorang guru ba­hasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Sinaran Budi di Rawang, Selangor.

“Saya begitu terpegun apabila cikgu ini berhujah dalam bahasa Melayu dengan begitu baik sekali se­hingga saya mahu mencontohinya.

“Malangnya, sehingga hari ini saya masih gagal berhujah sebaik cikgu subjek Bahasa Melayu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, beliau berbangga dengan guru-guru Malaysia yang berdedikasi dalam tugas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk pelajar tanpa disedari sesiapa.

“Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang cikgu mem­bawa seorang murid yang tercedera ke klinik dengan menggunakan kenderaan sendiri.

“Selepas murid dihantar pu­lang ke rumah dari klinik, cikgu ini bergegas pulang ke sekolah untuk menyiapkan tugas yang belum se­lesai. Cikgu ini hanya berpeluang membersihkan kereta yang dikotori darah selepas tugas di sekolah sele­sai,” katanya.

Menurutnya, guru pada zaman ini berdepan pelbagai cabaran ter­masuk tekanan daripada ibu bapa. “Jika saya mengadu kepada emak bahawa cikgu merotan saya, ibu saya tidak akan teragak-agak untuk merotan saya sekali lagi atas kesala­han yang saya lakukan.

“Keadaan sekarang berbeza kerana apabila anak dirotan, ibu bapa mungkin akan berkunjung ke sekolah ber­sama peguam untuk mencari cikgu yang merotan anak mereka,” katanya.

Kamalanathan berkata, pada ketika ramai orang menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor bagi menyelamatkan nyawa, cikgu sebenarnya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

“Seorang doktor mungkin merawat banyak pesakit, tetapi seorang guru akan memberi impak kepada satu generasi.

“Cikgu bukan sahaja mem­berikan ilmu kepada pelajar, mala­han membentuk akhlak mereka,” katanya.


Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/kamalanathan-tidak-lupakan-jasa-cikgu-1.91620#sthash.vt6Ad6Bd.dpuf