Taklimat ES Oleh Mohd Rasi Solong

Cikgu Mohd Rasi Solong sedang menyampaikan Taklimat ES di Bilik BMG 1 kepada guru-guru akademik | Foto oleh Carlos George

Terima kasih dan tahniah kepada Cikgu Mohd Rasi Solong yang telah menyampaikan Taklimat ES atau Employability Skills dengan jelas dan sekurang-kurangnya berjaya merungkai kemelut matapelajaran ES yang dikendalikan oleh guru-guru akademik selama ini.

Dalam taklimat beliau, Cikgu Mohd Rasi menekankan kepentingan ES setelah pelajar keluar untuk menyertai pihak industri. Terdapat tiga kemahiran utama yang diterapkan dalam ES iaitu Kemahiran Akademik yang merangkumi penyelesaian masalah, berfikir secara kritikal dan komunikasi, Kemahiran Mengurus Diri yang merangkumi sikap bertanggungjawab dan berfikiran positif dan Kemahiran Berpasukan yang merangkumi kebolehan bekerja dengan orang lain dan penglibatan dalam sesuatu projek.


Cikgu Arif Rahima mengemukakan soalan kepada pihak pentadbir mengenai kesesuaian guru-guru akademik mengajarkan Modul ES kepada pelajar | Foto oleh Carlos George

Sekiranya ES ini dapat dikuasai oleh para pelajar, mereka akan lebih bersedia dari segi fizikal dan mental serta lebih berketrampilan dan berdaya saing dalam industri kelak.

Terdapat beberapa modul dalam matapelajaran ES dan tidak semua melibatkan peralatan bengkel kecuali bab keselamatan. Oleh itu, modul-modul tertentu diserahkan kepada guru-guru akademik (mengikut kesesuaian) untuk mengajar modul ini bersama guru-guru vokasional.

"Yang paling penting ialah, guru-guru harus menempatkan diri mereka, bersama dengan pelajar dalam suasana pekerjaan dalam industri semasa menyampaikan atau mengajarkan matapelajaran ini. Dengan memberikan sudut pandangan berbeza dalam fikiran pelajar, objektif matapelajaran ini akan dapat dicapai dengan lebih mudah." jelasnya sebelum mengakhiri taklimat berkenaan.


TPA, Encik Azman Mansur (dua dari kiri) yang mewakili pihak pentadbir menyampaikan sijil penghargaan kepada Cikgu Mohd Rasi Solong (kanan) sambil diiringi oleh Ketua Unit ES, Cikgu Christine Tee (kiri). Turut sama, Ketua Jabatan Umum, Encik Ishak Japar (dua dari kanan) | Foto oleh Carlos George