![]() |
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kamalanathan | Foto oleh BERNAMA (http://mynewshub.cc/) |
Antaranya, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing, Rawang di Selangor yang digeruni kerana sering membawa rotan.
Mengakui beliau sebagai seorang murid yang agak nakal dan sederhana pencapaian di sekolah, Kamalanathan berkata, beliau kadang-kala merungut mengenai segelintir guru yang terlalu tegas.
Walaupun berasa kurang senang, Kamalanathan kini berasa terhutang budi apabila mengenang jasa yang ditaburkan guru ke atas hidupnya.
“Saya bukan seorang murid yang cemerlang tetapi cikgu-cikgu sentiasa memberi motivasi dan menggalakkan saya berusaha lebih bersungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Kamalanathan berkata, kefasihannya berbahasa Melayu umpamanya merupakan hasil dorongan dan motivasi daripada seorang guru bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Sinaran Budi di Rawang, Selangor.
“Saya begitu terpegun apabila cikgu ini berhujah dalam bahasa Melayu dengan begitu baik sekali sehingga saya mahu mencontohinya.
“Malangnya, sehingga hari ini saya masih gagal berhujah sebaik cikgu subjek Bahasa Melayu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, beliau berbangga dengan guru-guru Malaysia yang berdedikasi dalam tugas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk pelajar tanpa disedari sesiapa.
“Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang cikgu membawa seorang murid yang tercedera ke klinik dengan menggunakan kenderaan sendiri.
“Selepas murid dihantar pulang ke rumah dari klinik, cikgu ini bergegas pulang ke sekolah untuk menyiapkan tugas yang belum selesai. Cikgu ini hanya berpeluang membersihkan kereta yang dikotori darah selepas tugas di sekolah selesai,” katanya.
Menurutnya, guru pada zaman ini berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan daripada ibu bapa. “Jika saya mengadu kepada emak bahawa cikgu merotan saya, ibu saya tidak akan teragak-agak untuk merotan saya sekali lagi atas kesalahan yang saya lakukan.
“Keadaan sekarang berbeza kerana apabila anak dirotan, ibu bapa mungkin akan berkunjung ke sekolah bersama peguam untuk mencari cikgu yang merotan anak mereka,” katanya.
Kamalanathan berkata, pada ketika ramai orang menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor bagi menyelamatkan nyawa, cikgu sebenarnya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.
“Seorang doktor mungkin merawat banyak pesakit, tetapi seorang guru akan memberi impak kepada satu generasi.
“Cikgu bukan sahaja memberikan ilmu kepada pelajar, malahan membentuk akhlak mereka,” katanya.
Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/kamalanathan-tidak-lupakan-jasa-cikgu-1.91620#sthash.vt6Ad6Bd.dpuf