Semasa menyampaikan taklimat kepada Kaunselor Sekolah, Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy menyatakan bahawa bilangan permohonan online untuk enrolmen 2015 bagi KV Tawau sangat memberangsangkan, namun enrolmen selepas proses pendaftaran tidak mencapai sasaran.
Pengarah turut memaklumkan para kaunselor mengenai syarat umum dan syarat khusus pengambilan murid bagi tahun 2016 | Foto oleh Carlos George |
Oleh itu, penjelasan tepat mengenai Transformasi Pendidikan Vokasional dan peluang pekerjaan yang lebih baik berdasarkan kemahiran dan kelulusan peringkat diploma dari Kolej Vokasional amat diperlukan. "Masyarakat harus faham dengan keperluan pihak industri. Mereka memerlukan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran.",jelasnya lagi.
"Di negara maju seperti Jerman dan Belanda, lebih 60% pelajar mengikuti aliran pendidikan vokasional kerana mereka sedar tentang keperluan kemahiran vokasional untuk mendapatkan pekerjaan".
Merujuk kepada hala tuju lepasan Diploma Kolej Vokasional iaitu 70% memasuki pasaran kerja, 20% melanjutkan pelajaran dan 10% menjadi usahawan, beliau yakin objektif ini akan tercapai berdasarkan kepada pencapaian semasa pelajar.
"Saya berharap agar para Kaunselor Sekolah akan dapat berkongsi maklumat ini dengan para pelajar terutamanya pelajar yang bakal menjalani PT3 pada tahun ini. Bawa pelajar melawat Kolej Vokasional Tawau supaya mereka turut mempertimbangkan peluang yang ditawarkan oleh Kolej Vokasional dalam mencorak masa depan mereka.", katanya lagi sebelum mengakhiri sesi taklimat beliau.
Taklimat ini diakhiri dengan Penyerahan Sijil Penghargaan dan Cakera Padat e-Profail Kolej Vokasional Tawau.