JOHOR BAHRU 15 Jun – Dalam usaha mentransformasikan pendidikan vokasional, sebanyak 1,096 pensyarah di 80 kolej vokasional seluruh negara disasarkan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.
Usaha yang dilakukan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pendidikan tersebut terarah kepada meningkatkan tahap pendidikan dan kompentensi pensyarah di kolej berkenaan.
Timbalan Pengarah Pembangunan Kejuruteraan Pendidikan Teknik dan Vokasional BPTV, Muhammad Samad berkata, sebanyak RM1.12 juta diperuntukkan bagi melatih 120 pensyarah untuk ditauliahkan SKM Tahap 4 tahun ini.
“Pensyarah kolej vokasional perlu memiliki SKM yang lebih tinggi berbanding pelajar. Bagi penuntut Diploma Vokasional Malaysia (DVM) Tahun 1 adalah setara dengan SKM Tahap 3.
“Sehubungan itu, pensyarah mesti memiliki Tahap 4 atau lebih tinggi bagi membolehkan mereka mendidik pelajar yang mengambil DVM di setiap kolej vokasional,” katanya selepas menghadiri majlis Program Pentauliahan SKM Tahap 4 dan Jalinan Kerjasama BPTV bersama Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penyelaras Kursus Pentauliahan SKM Tahap 4, Dr. Adnan Ahmad dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Pendidikan UTM, Prof. Madya Dr. Yusuf Boon.
Pada majlis itu, seramai 100 pensyarah kolej vokasional seluruh negara terlibat dalam program pentauliahan tersebut yang menawarkan lima kursus kemahiran iaitu elektronik, kimpalan, automotif, pemesinan industri dan pembinaan.
Muhammad berkata, daripada jumlah sasaran 1,096 pensyarah, seramai 312 daripadanya dalam proses mendapatkan sijil tersebut di Institut Pendidikan Guru manakala 20 lagi sudah memilikinya.
“Sasaran bagi memastikan baki pensyarah kolej vokasional memperoleh SKM Tahap 4 adalah bergantung kepada peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
- Lagi http://www.bptv.edu.my/v4/index.php/keratan-akhbar/2015/jun-2015/328-16062015-sasar-pensyarah-kolej-vokasional-miliki-skm