Sejarah 2010 Berulang: Pasukan Bolasepak KV Tawau Bergelar Juara 2014!!

Juara Kumpulan A, gambar kenangan selepas mendapat keputusan seri dengan Pasukan SMK Balung...

Pertandingan Bolasepak Bawah 18 Tahun Peringkat MSSD Tawau telah berlangsung selama 4 hari bermula 07 - 10 April 2014. Sebanyak 17 penyertaan telah dihantar oleh 16 buah sekolah menengah dan penganjur pertandingan iaitu SMK Merotai mengesahkan dua penyertaan iaitu Pasukan SMK Merotai A dan Pasukan SMK Merotai B. Kesemua 17 penyertaan dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Kumpulan A, Kumpulan B, Kumpulan C dan Kumpulan D. Pasukan KV Tawau bersaing dalam Kumpulan A.

Pertandingan kali ini menyaksikan Pasukan KV Tawau melepasi peringkat kumpulan dengan agak selesa apabila mencatat 2 kemenangan dan 1 seri untuk bergelar Juara Kumpulan A. Pasukan KV Tawau menewaskan SMK Kabota dengan jaringan 4-0 dan seterusnya menewaskan SM St Patrick dalam perlawanan ke-2 dengan jaringan 7-1. Ketua Jurulatih, Cikgu Lawrensia Allvianus Ganang yang nampak berpuashati dengan persembahan anak buahnya dalam dua perlawanan terdahulu, menurunkan 6 orang pemain simpanan pada separuh masa pertama dalam perlawanan terakhir kumpulan bertemu SMK Balung. Perlawanan ini berkesudahan seri, 1-1.

Penjaga gol Pasukan KV Tawau berjaya menepis bola daripada sepakan penjuru dari Pasukan SMK Balung...

Tendangan percuma yang berjaya ditampan oleh benteng pertahanan Pasukan KV Tawau...

Gol tunggal Pasukan KV Tawau dalam perlawanan ini yang berjaya dijaringkan oleh Mohd Lutfy Wony...


Pasukan yang menunggu Pasukan KV Tawau dalam perlawanan suku akhir ialah SM Islamiah Tawau (SMIT) yang sebelum ini tidak dapat dijinakkan oleh Pasukan KV Tawau dalam dua pertemuan perlawanan persahabatan. Walau bagaimanapun, Pasukan SMIT terpaksa akur dengan semangat dan iltizam Pasukan KV Tawau yang berjaya membolosi gawang gol mereka sebanyak 4 kali. Dengan keputusan 4-0, Pasukan KV Tawau mara ke perlawanan separuh akhir untuk bertemu Pasukan SMK Kalabakan. Sekali lagi, Pasukan KV Tawau seperti tidak memberikan peluang apabila membelasah Pasukan SMK Kalabakan dengan jaringan 6-0.

Dengan jumlah jaringan sebanyak 22 gol dan 1 bolos dalam semua lima perlawanan sebelum ini, Pasukan KV Tawau sememangnya patut digeruni oleh pasukan lawan di peringkat akhir iaitu Pasukan SMK Merotai Besar yang mara setelah menundukkan Pasukan SMK Kabota.

BAHAYA!! Terjahan yang boleh menyebabkan kecederaan... | Foto perlawanan menentang SMK Merotai Besar

Berbekalkan kelebihan bermain ditempat sendiri, para penyokong pasukan SMK Merotai Besar memenuhi kawasan tepi padang di sebelah astaka dan sorakan kuat yang diberikan sememangnya memberikan tekanan kepada para pemain Pasukan KV Tawau. Bermain dengan agak perlahan dan berhati-hati pada separuh masa pertama, Pasukan KV Tawau berjaya menghasilkan gol pertama melalui tandukan kemas pemain penyerang yang memakai jersi no. 13, Nuriman Sahran. Di separuh masa ke-2, Pasukan KV Tawau menggandakan jaringan apabila berjaya memperolehi gol ke-2 melalui rembatan leret pemain yang memakai jersi no. 17, Sharil Madsah. Pasukan SMK Merotai berjaya memperolehi tendangan penalti 15 minit sebelum tamat permainan namun peluang disia-siakan apabila tendangan Kapten Pasukan SMK Merotai melayang jauh di atas palang gol Pasukan KV Tawau. Pasukan KV Tawau turut menggandakan asakan dan hampir memperolehi gol ke-3 tetapi dibatalkan akibat kedudukan offside. Pasukan KV Tawau dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bolasepak Bawah 18 Tahun Peringkat MSSD Tawau apabila wisel penamat dibunyikan...
 
Gol pertama dalam perlawanan menentang SMK Merotai Besar... Macam menjaring tetapi Mohd Lutfy hanya meraikan gol yang dijaringkan oleh Nuriman Sahran...

Nuriman Sahran berkongsi kegembiraan bersama rakan selepas menjaringkan gol pertama...

Sharil Madsah (berkasut biru) melengkapkan kemenangan 2-0 Pasukan KV Tawau ke atas SMK Merotai Besar...
 
Peluang Pasukan SMK Merotai Besar untuk memperolehi gol semangat berkecai apabila satu-satunya peluang keemasan melalui tendangan penalti ini tersasar jauh di atas palang gol Pasukan KV Tawau...

Tahniah diucapkan kepada semua guru yang terlibat dalam membentuk pasukan ini terutamanya Ketua Jurulatih, Cikgu Lawrensia Allvianus Ganang dan Pengurus Pasukan, Cikgu Mohd Syahir serta guru-guru yang telah memberikan sokongan kepada pasukan ini. Ini merupakan pencapaian yang sangat istimewa bagi sukan Bolasepak Kolej Vokasional Tawau yang kali terakhir menggengam gelaran juara pada tahun 2010 [Rujuk: Sejarah Tercipta: SM Teknik Tawau Juara 2010!!!].

Ucapan penghargaan daripada Pengetua SMK Merotai Besar, Encik Abdul Rahman Kannan dalam Majlis Penutupan Pertandingan Bolasepak Peringkat MSSD Tawau 2014...

Terpaksa berpuas hati di sebagai naib juara....

Hadiah disampaikan oleh Pengetua SMK Merotai Besar...

Bergambar bersama Pengetua SMK Merotai Besar, TPSA, Encik Ahmad Fakhrurazi Bin Hamzah (Biru), Jurulatih, Cikgu Lawrensa Allvianus Ganang (Hijau muda) dan Pengurus, Cikgu Mohd Shahir Bin Idris (Hijau gelap)...

Apapun, para pemain Pasukan KV Tawau yang telah bertungkus lumus dalam pertandingan ini perlu berehat sepenuhnya kerana mereka mempunyai misi lain pada hari Sabtu di Kolej Vokasional Keningau dalam Pertandingan VOKTEK Peringkat Zon Sabah. Pasukan KV Tawau akan bertemu dengan pasukan tuan rumah, Pasukan Kolej Vokasional Keningau yang merupakan musuh tradisi dalam perlawanan bolasepak sejak Pertandingan VOKTEK masih dikenali dengan nama Kejohanan Antara Teknik (KAT) lagi. Dengan harapan agar momentum yang diperolehi dalam Pertandingan Bolasepak Peringkat MSSD Tawau ini akan terus digerakkan sehingga beroleh kejayaan yang lebih manis dalam Pertandingan VOKTEK nanti....

SEMOGA BERJAYA!!!...