SMK Kabota Musnah Impian Skuad Bolasepak KV Tawau

Percubaan dari luar kotak penalti oleh Ahmad Fikhriullah (kanan) semasa perlawanan menentang SMK Jalan Apas | Foto oleh Carlos George 

Impian menjulang Piala Kejuaraan Pertandingan Bolasepak Bawah 18 tahun MSS Daerah Tawau untuk kali ke-2 berturut-turut musnah apabila Pasukan KV Tawau tewas mengejut, 0-1 kepada pasukan SMK Kabota di Padang SMK Kuhara, pagi ini.

Pasukan KV Tawau memulakan saingan peringkat kumpulan di Padang SMK Tawau dengan membelasah pasukan penganjur, SMK Jalan Apas, 7-0. Mohd Lutfy menjaringkan 3 gol dalam perlawanan ini manakala Mohd Ruzainsyah menjaringkan 2 gol. Gol lain dijaringkan oleh Ahmad Fikhriullah dan Nik Zulhilmi.

Mohd Syukri Baharun (kiri) menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan berlangsung | Foto oleh Carlos George

Dalam perlawanan ke-2, pasukan KV Tawau menewaskan pasukan SMK Kinabutan dengan jaringan 2-0, hasil tendangan percuma dan tendangan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Syukri Baharun. Pasukan KV Tawau menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku Juara Kumpulan A. 

Penjaga gol, Mohd Nadzry Iwan, menjadi hero dalam perlawanan menentang SMK Kinabutan apabila berjaya menyelamatkan tendangan penalti pasukan lawan | Foto oleh Carlos George

Namun, perlawanan peringkat suku akhir dengan pasukan SMK Kabota tidak memihak kepada pasukan KV Tawau. SMK Kabota berjaya menjaringkan 1 gol akibat kesilapan pemain pertahanan dan cuba mempertahankan jurang tersebut sehingga ke wisel penamat. Pasukan KV Tawau meningkatkan asakan selepas ketinggalan 1 gol dan mendapat beberapa tendangan percuma pada jarak 25 meter diluar kotak penalti tetapi tidak berjaya menghasilkan gol. Dalam 10 minit terakhir separuh masa ke-2, pasukan KV Tawau berjaya mendapat satu tendangan penalti apabila Ahmad Fikhriullah dijatuhkan oleh pemain pertahanan lawan, namun tendangan Mohd Syukri tersasar di sebelah kanan gawang gol pasukan lawan.

"Bukan rezeki...", kata ketua jurulatih, Lawrensa Allviannus. "Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan gol penyamaan namun bahagian pertahanan SMK Kabota menyukarkan penyerang kita untuk menjaringkan gol. Beberapa orang pemain juga tidak menunjukkan prestasi terbaik disaat kita memerlukan mereka untuk berbuat demikian", ulasnya lagi.

Walaupun tersingkir dalam pertandingan kali ini, barisan pengurusan Pasukan Bolasepak KV Tawau yakin bahawa barisan pemain ini telah mendapat pengalaman yang sangat berguna dalam persiapan menuju Kejohanan VOKTEK Zon Sabah dan W/P Labuan nanti.

Pihak penganjur, SMK Jalan Apas, Tawau dengan kerjasama PPD Tawau, menyediakan empat tempat untuk pertandingan ini iaitu padang SMK Tawau, padang SMK Kuhara, padang SMK Kinabutan dan padang SMK Jalan Apas. Pertandingan yang berlangsung selama empat hari, bermula pada 25 Mac lalu akan berakhir esok (28 Mac 2015).