Kaunselor Sekolah Input Diharap Bantu Perjelas Transformasi Pendidikan Vokasional

Gambar kenangan para pentadbir, Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy (duduk tengah), Timbalan Pengarah Akademik, Encik Azman Mansor (duduk tiga dari kiri) dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Encik Doimeh Dolinting (duduk tiga dari kanan) bersama para kaunselor. Turut sama ialah kaunselor Kolej Vokasional Tawau, Cikgu Nordayana Muhammad (berdiri dua dari kanan) dan Cikgu Ishak Mohammad (berdiri kanan) | Foto oleh Carlos George

Seramai 19 orang Kaunselor Sekolah dari sekolah-sekolah menengah Daerah Tawau telah menghadiri sesi Taklimat Kemasukan Pelajar Kolej Vokasional Ambilan Tahun 2016, semalam, di Bilik BMG 1, KV Tawau.

Semasa menyampaikan taklimat kepada Kaunselor Sekolah, Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy menyatakan bahawa bilangan permohonan online untuk enrolmen 2015 bagi KV Tawau sangat memberangsangkan, namun enrolmen selepas proses pendaftaran tidak mencapai sasaran.


Pengarah turut memaklumkan para kaunselor mengenai syarat umum dan syarat khusus pengambilan murid bagi tahun 2016 | Foto oleh Carlos George

Mungkin pada ketika ini, masih ramai yang beranggapan bahawa pendidikan vokasional adalah tempat bagi pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Ini adalah antara anggapan atau presepsi pelajar dan masyarakat secara amnya, yang perlu diubah dengan bantuan Kaunselor Sekolah.

Oleh itu, penjelasan tepat mengenai Transformasi Pendidikan Vokasional dan peluang pekerjaan yang lebih baik berdasarkan kemahiran dan kelulusan peringkat diploma dari Kolej Vokasional amat diperlukan. "Masyarakat harus faham dengan keperluan pihak industri. Mereka memerlukan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran.",jelasnya lagi.

"Di negara maju seperti Jerman dan Belanda, lebih 60% pelajar mengikuti aliran pendidikan vokasional kerana mereka sedar tentang keperluan kemahiran vokasional untuk mendapatkan pekerjaan".

Merujuk kepada hala tuju lepasan Diploma Kolej Vokasional iaitu 70% memasuki pasaran kerja, 20% melanjutkan pelajaran dan 10% menjadi usahawan, beliau yakin objektif ini akan tercapai berdasarkan kepada pencapaian semasa pelajar.

Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah menyerahkan sijil penghargaan dan cakera padat e-Profail Kolej Vokasional Tawau kepada Cikgu Noorifa Binti Che Haruna Rashid dari SMK Wakuba selepas sesi taklimat selesai sambil diiringi oleh Timbalan Pengarah Akademik, Encik Azman Mansor. Semua kaunselor yang hadir menerima sijil dan cakera padat masing-masing. | Foto oleh Carlos George

"Saya berharap agar para Kaunselor Sekolah akan dapat berkongsi maklumat ini dengan para pelajar terutamanya pelajar yang bakal menjalani PT3 pada tahun ini. Bawa pelajar melawat Kolej Vokasional Tawau supaya mereka turut mempertimbangkan peluang yang ditawarkan oleh Kolej Vokasional dalam mencorak masa depan mereka.", katanya lagi sebelum mengakhiri sesi taklimat beliau.


Taklimat ini diakhiri dengan Penyerahan Sijil Penghargaan dan Cakera Padat e-Profail Kolej Vokasional Tawau.