Mesyuarat Pengambilan Pelajar 2016 berlangsung semalam dengan semua Ketua Jabatan, Ketua Unit dan Ketua Bengkel diwajibkan hadir untuk melancarkan lagi semua proses yang terlibat sebelum pelajar baru mendaftarkan diri pada 26 Januari 2016.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah, Encik Rangiah A/L Muthusamy menetapkan pengurangan kes pelajar yang berhenti daripada Kolej Vokasional Tawau sebagai fokus utama dalam proses pengambilan pelajar kali ini. Punca utama perkara ini berlaku ialah pelajar tidak bersedia atau kurang memahami Konsep dan Cabaran Kolej Vokasional yang perlu mereka lalui untuk bergelar graduan diploma.
Oleh itu, antara langkah pertama yang akan diambil oleh Encik Rangiah ialah memberikan taklimat kepada ibubapa dan pelajar sebelum menjalani proses temuduga pada 14 Januari 2016 di Dewan Tun Ahmad Shah, Kolej Vokasional Tawau. Tahun lepas dan tahun sebelumnya terlepas pandang tentang keperluan ibubapa dan pelajar untuk memahami cabaran yang akan mereka lalui apabila memasuki Sistem Kolej Vokasional. Beliau akan turut menerangkan tentang perubahan terkini yang sedang berjalan dalam sistem ini.
Proses Temuduga, Semakan Dokumen dan Tapisan Kesihatan akan dijalankan oleh pihak bengkel melalui penyelarasan daripada Ketua Jabatan masing-masing.
Turut dimaklumkan bahawa semua pelajar yang datang untuk proses temuduga perlu berpakaian sekolah dan sesiapa yang tidak mematuhi peraturan ini tidak akan menjalani proses temuduga.
Proses Rayuan akan bermula selepas hari pendaftaran HANYA JIKA masih ada kursus yang kekurangan pelajar.
Kolej Vokasional Tawau hanya menawarkan 222 kekosongan untuk 13 Program dan merujuk kepada jumlah keseluruhan permohonan online melebihi 1400. Program Seni Kulinari menjadi tumpuan dengan 249 permohonan berbanding 17 kekosongan yang ditawarkan.
Encik Rangiah berharap agar semua yang terlibat akan menjalankan tanggungjawab untuk memilih calon pelajar yang terbaik untuk kumpulan pelajar SVM1 2016.
Mesyuarat ditangguhkan pada jam 3.40 petang.