Graduan KV Bakal Penuhi Keperluan Industri 2016

Timbalan Pengarah Pembangunan Kejurulatihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV), Mohamad Samad (dua dari kanan),diiringi Pengarah KV Tawau, Rangiah A/L Muthusamy (kanan).Turut sama Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Kejurulatihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV), Sabariah Basiran (dua dari kiri) dan Dr. Asnul Dahar Minghat, Ketua Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) | Foto oleh Carlos George
Oleh : Sadri Saleho, Vianah Toh, Carlos Fui Khiong George dan Mohd Adam Shah Sudin.

TAWAU: Kolej Vokasional bakal melahirkan tenaga mahir bagi keperluan industri menjelang tahun 2016, kata Timbalan Pengarah Pembangunan Kejurulatihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV), Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Mohamad Samad.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lagi, kumpulan pertama pelajar diploma keluaran Kolej Vokasional (KV) di seluruh negara akan menamatkan pengajian mereka.

“Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional menjangka hampir 70 peratus lepasan diploma Vokasional Malaysia akan memasuki pasaran kerja pada tempoh itu, manakala 20 peratus akan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi manakala selebihnya, 10 peratus akan menjadi usahawan,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan lawatan kerjanya bersama peserta Kursus Asas Kewartawanan Zon Sabah/Labuan ke Kolej Vokasional Tawau, di sini, pada 5 Mac 2015 lalu.

 
Mohamad Samad dan Rangiah A/L Muthusamy sempat memantau kerja-kerja pemasangan paip oleh pelajar Teknologi Pembinaan untuk projek air pancut di hadapan pintu gerbang Kolej Vokasional Tawau | Foto oleh Carlos George
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Kejurulatihan BPTV, Sabariah Basiran dan Dr. Asnul Dahar Minghat, Ketua Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Berucap dalam majlis yang sama, Pengarah KV Tawau, Rangiah A/L Muthusamy, menyatakan bahawa Kolej Vokasional Tawau akan terus berusaha untuk meningkatkan kemahiran pelajar selaras dengan enam Aspirasi Murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menambahkan nilai kebolehpasaran mereka. Oleh itu, Program School Enterprise akan menjadi salah satu keutamaan dalam mencapai sasaran ini.