Pencapaian Cemerlang Dalam Kejohanan Balapan dan Padang 2015

CEMERLANG | Kontinjen Kolej Vokasional Tawau dalam Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Tawau 2015. Dari kiri (depan): Sheryl Mable Mata, Shaharudin Aziz, Nurhani Yunus, (belakang): Mohd Alif Fadzil, Mohd Rijan Rahmat dan Mohd Hafizs Ahmad (Tiada dalam gambar: Jumirah Bahari dan Syarifah Nurul Syamira) | Foto oleh Carlos George
Kolej Vokasional Tawau telah menghantar 7 orang atlit untuk menyertai Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tawau Kali Ke-48, 2015 dalam Kategori Bawah 18 tahun yang telah berlangsung di Kompleks Sukan Tawau bermula 2 hingga 6 Mac 2015.

Dalam kejohanan kali ini, Pengurus Pasukan, Shaharudin Aziz, tidak meletakkan sasaran yang tinggi dalam 11 acara yang disertai kerana tempoh latihan yang diperuntukkan untuk kumpulan atlit ini adalah singkat. Namun, pencapaian luar jangkaan lima emas dan dua gangsa menunjukkan bahawa kumpulan atlit ini telah menggunakan masa yang ada untuk mempersiapkan diri ke tahap yang cukup baik untuk bersaing dengan atlit dari sekolah lain.


BERJUANG | Syarifah Nurul Syamira (R005) bersaing dalam acara 800m hingga ke garisan penamat | Foto oleh Carlos George
"Daripada 7 atlit yang kita hantar, cuma seorang sahaja yang tidak berjaya mendapat sebarang pingat. Yang lain semua ada pingat. Tetapi, kita harus memberikan pujian kepada pasukan ini kerana setiap atlit telah menunjukkan usaha dan semangat kesukanan yang tinggi," ulas Shaharudin.

Berikut ialah pencapaian atlit Kolej Vokasional Tawau dalam kejohanan itu:
  • Syarifah Nurul Syamira - 800m (P), 1500m (P), 3000m Terbuka (P)
  • Mohd Rijan Rahmat - Lompat Jauh (Gangsa - 5.84m), Lompat Kijang (P)
  • Sheryl Mable Mata - Pentathlon (Gangsa - pungutan mata, 1072)
  • Mohd Hafizs Ahmad - Heptathlon (Emas - pungutan mata, 2981)
  • Mohd Alif Fadzil Syamsul Bahri - 5000m Terbuka (Emas - catatan masa, 19'36"), 1500m (P)
  • Nurhani Yunus - 1500m (Emas - 6'48"), 3000m Terbuka (Saguhati tempat ke-4)
  • Jumirah Bahari - Melempar Cakera (Emas - 22.58m), Melontar Peluru (Emas - 7.40m), Merejam Lembing (P)
*P - Penyertaan

Dengan pencapaian 5 emas dan 2 gangsa ini, Pasukan Kolej Vokasional Tawau berada pada kedudukan tempat ke-6 daripada 24 buah sekolah menengah yang bertanding dalam kategori yang sama.


KILAUAN EMAS | Nurhani Yunus bersama pemenang pingat perak dan gangsa dalam acara 1500m | Foto oleh Carlos George
Sekalung ucapan tahniah kepada pasukan ini dan sekali lagi ucapan tahniah khas kepada semua pemenang pingat emas yang dikhabarkan akan mewakili MSS Daerah Tawau ke Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat MSS Zon Tenggara yang bakal berlangsung di Daerah Kunak pada bulan April nanti.



Baca juga: Kejohanan Padang dan Balapan MSSD Tawau Kali Ke-47, 2014