Perpindahan Guru: Cikgu Norliza Binti Zakaria dan Cikgu Noriza Binti Mohamed

Kesedihan terserlah diwajah Cikgu Norliza (kanan) semasa menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), June Quelistha Jaiful (kiri) dalam Majlis Perhimpunan Mingguan pada 20 April 2015 | Foto oleh Carlos George

Berita perpisahan sememangnya menyedihkan terutamanya bagi mereka yang telah mengharungi pengalaman pahit manis yang pastinya terpahat sebagai kenangan indah dalam cebisan memori kehidupan.

Mengimbas kembali sejarah lalu, kedua-dua guru yang akan berpindah ini merupakan rakan sekursus semasa belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1992 - 94. Mula bertugas pada tahun 1995, kedua-dua guru ini telah pun berkhidmat selama 20 tahun dalam bidang pendidikan. Masing-masing telah banyak kali berpindah namun Kolej Vokasional Tawau, Sabah pastinya akan menjadi satu kenangan yang cukup istimewa kerana berpindah di kolej ini merupakan pengalaman pertama mereka bertugas di Negeri Sabah.


Cikgu Norliza Binti Zakaria
Cikgu Norliza Binti Zakaria yang merupakan Ketua Unit Psikologi dan Kerjaya, Kolej Vokasional Tawau akan berpindah ke Kolej Vokasional Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Sebelum ini, Cikgu Norliza pernah berkhidmat di 5 buah Sekolah Teknik dan Vokasional (sebelum dinaiktaraf menjadi kolej) di Semenanjung Malaysia. Kolej Vokasional Tawau merupakan kolej yang ke-6 baginya. Melapor diri di kolej ini pada 5 Februari 2005, Cikgu Norliza telah mempamer perkhidmatan cemerlang dalam melaksanakan beberapa program dibawah Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan bantuan para guru dan pelajar. Mengulas tentang perpindahannya, Cikgu Norliza menyatakan bahawa perpindahan ini adalah mengikut perpindahan suami yang dinaikkan pangkat. Sebagai makluman, suami Cikgu Norliza ialah seorang pegawai tentera. Antara kata-kata yang diucapkan semasa memberikan ucapan terakhir dalam Majlis Perhimpunan pada 20 April yang lalu ialah "Teruskan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat".


Cikgu Noriza Binti Mohamed
Cikgu Noriza Binti Mohamed merupakan Ketua Unit Insaniah yang turut memegang jawatan Penyelia Kanan Pementoran di bawah Unit Jaminan Kualiti akan berpindah ke SMK Perempuan Sultan Abu Bakar, Muar, Johor. Pertama kali menjejakkan kaki di Sabah dan melapor diri di KV Tawau pada bulan Jun 2010, Cikgu Noriza menganggap Kolej Vokasional Tawau sebagai salah satu kolej persinggahan seperti enam sekolah dan kolej lain sebelumnya. Namun, setelah lima tahun berlalu, ternyata banyak pengalaman baru telah diterima dari kolej ini. Antaranya ialah pengalaman pada tahun pertama, bertugas sebagai Penyelaras Disiplin Akademik yang ternyata mencabar dirinya untuk menyediakan satu rujukan mengenai permasalahan akademik untuk dikategorikan sebagai Disiplin Akademik. Setelah 16 tahun berkhidmat dibawah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, rasa sayang telah berputik namun Cikgu Noriza terpaksa bersetuju untuk menukar haluan ke sekolah akademik, memandangkan tiada kekosongan buat masa ini. Semua ini terpaksa dikorbankan khas buat keluarga tercinta. 


Pengarah, Encik Rangiah A/L Muthusamy menyampaikan cenderakenangan kepada Cikgu Norliza dan Cikgu Noriza yang berupa plak daripada KKRKVT, diiringi oleh Pengerusi KKRKVT, Cikgu Mohd Fadzillah Husin | Foto oleh Carlos George

Sekalung ucapan terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan dan semoga kedua-dua guru ini akan meneruskan kecemerlangan masing-masing di sekolah/kolej yang baru.


Manis rasanya buah delima,
Masak sebiji di celah daun;
Budi guru saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Sejambak bunga dari taman, 
Untuk guru kuhadiahkan;
Pesananmu tetap jadi pedoman, 
Mendorong aku mencapai kejayaan.

Anak dara ke Tanjung Batu,
Janji bertemu di Teluk Bayu;
Tidak ternilai jasa baktimu,
Terima kasih banyak, Cikgu!!!