Malu Didenda Punca Berjaya

Datuk Mary Yap
PUTRAJAYA 12 Mei - Pengalaman didenda mencuci tandas sekolah ketika belajar di Sekolah Kebang­saan St. Patrick antara kenangan yang paling tidak dapat dilupakan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Menceritakan semula pengala­mannya itu, Mary Yap berkata, beliau yang ketika itu murid darjah satu terpaksa menjalani hukuman tersebut selepas didapati bersalah membuat bising dalam bilik darjah bersama rakan-rakannya.

Beliau berkata, biar pun terkesan dengan hukuman tersebut pada mulanya, perasaan tersebut hilang selepas guru yang menjatuhkan hukuman tersebut menjelaskan denda yang diberikan itu bertujuan mendidik dan bukan menghukum.

“Saya masih ingat guru yang ber­jaya mendidik saya sehingga men­jadi insan yang berjaya iaitu Cikgu Betty Power yang berasal dari Aus­tralia, didikan beliau memberikan kesan sangat mendalam kepada saya kerana beliau memainkan peranan sebagai pemimpin dengan be­gitu baik dalam soal menunjukkan keikhlasan, kepimpinan, disiplin dan kejujuran.

“Malah ketika saya didenda men­cuci tandas dahulu, beliau men­jelaskan kenapa hukuman tersebut dikenakan dan ini menyebabkan kita tidak berasa malu sebab beliau tegur supaya kita berubah ke arah positif,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mary Yap, kesan daripada didikan tegas itu terbawa-bawa sehingga memasuki profesion perguruan kira-kira 30 tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai seorang yang tegas sepanjang bergelar guru, Mary Yap berkata, beliau menggunakan kaedah menghukum sambil mendidik bagi mendenda pela­jarnya yang membuat kesalahan.

“Ketika saya menjadi pengetua dahulu, saya memberi pilihan ke­pada pelajar hukuman yang mereka hendak dan hukuman yang paling mereka takut ialah dibawa ber­jumpa dengan ibu dan bapa masing-masing.

“Pernah sekali salah seorang pela­jar saya melakukan kesalahan dan saya bertindak memanggil bapanya yang bertugas sebagai pegawai ber­uniform di salah sebuah pasukan ke­selamatan, belum habis saya cakap tiba-tiba budak itu sudah ditampar sebab bapanya malu dengan per­buatan anaknya itu ,” katanya.

Katanya, biar pun tindakan itu agak mengejutkannya, selepas nasihat diberikan kepada pelajar itu keadaan menjadi berubah sayu apabila dia mula insaf dan meminta maaf kepada ibu bapanya.
Dalam pada itu, Mary Yap berkata, sebagai pendidik, guru terutamanya yang menjawat tugas sebagai pemimpin perlu pandai mengambil hati pelajar dan guru bawahan dengan menghargai usaha yang dilakukan mereka.

“Jika ada pelajar atau guru seko­lah saya yang membawa kejayaan kepada sekolah atau hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malay­sia (SPM) saya selalunya akan be­lanja mereka makan dan benda yang selalu mereka minta ialah ayam goreng sebab kebanyakan pelajar saya tidak berkemampuan dan hidangan tersebut boleh dikategorikan sebagai mahal.

“Kita perlu menghargai mereka semua ini kerana sebagai pengetua kita tidak boleh buat semua benda, perlu bantuan guru lain dan pelajar untuk bekerjasama,” katanya.

Mengimbau semula pengala­mannya sebelum terlibat dalam arena politik, katanya, beliau per­nah berkhidmat sebagai Pengetua Sekolah dan Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Teknik Tawau sebelum bersara pada tahun 2007.

Selain itu, katanya, beliau juga pernah dinobat sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012 dan dilantik seba­gai juru runding kanan di Institut Aminuddin Baki selepas bersara.

Menyentuh mengenai Hari Guru yang bakal disambut pada minggu hadapan, beliau meminta supaya setiap guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik tetapi juga bertanggungjawab memimpin dalam bilik darjah.

Jelasnya, guru perlu menun­jukkan teladan yang baik kepada pelajar supaya mereka menjadi in­san yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Katanya lagi, tanggungjawab sebagai guru sangat besar kerana mereka boleh diibaratkan sebagai penentu masa depan setiap anak didik masing-masing.


Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/malu-didenda-punca-berjaya-1.91623#sthash.LKs4OC9J.dpuf