Ceramah Keselamatan Oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Tawau

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Tawau, Tuan Mohd Razali Bin Ahmad semasa menyampaikan Ceramah Keselamatan di Dewan Tun Ahmad Shah, Kolej Vokasional Tawau hari ini | Foto oleh Carlos George

Unit Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kolej Vokasional Tawau dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Daerah Tawau telah mengadakan Ceramah Keselamatan di Dewan Tun Ahmad Shah, Kolej Vokasional Tawau pada hari ini, semasa perjumpaan bulanan Unit Beruniform.

Program ceramah yang bermula kira-kira jam 8.00 pagi ini menumpukan kepada persiapan menghadapi kecelakaan dan langkah-langkah yang perlu diambil semasa menghadapi masalah berkaitan keselamatan. Sebelum ceramah bermula, satu tayangan video disajikan kepada para pelajar untuk mendapat maklumat umum tentang aktiviti dan kerjaya bomba pada masa kini.

Slot ceramah oleh Ketua Balai JBPM Tawau dibantu oleh Pegawai Bomba Bahagian Unit Latihan JBPM Tawau, Encik Awang Jamri Bin Lamsin | Foto oleh Carlos George

Semasa sesi ceramah, Tuan Mohd Razali Ahmad yang berasal dari Papar, Sabah menerangkan serba sedikit tentang unit-unit khas dalam JBPM antaranya HAZMAT, RTA – Road Traffic Accident, Penyelamatan bangunan tinggi, Penyelamatan cerun, RIM – Rapid Intervention Motorcycle, Kebakaran Hutan, Unit Udara, Unit Pengesan K-9, Unit Menyelamat Dalam Air (SCUBA), Multi Skilled Team (MUST), MERS – Medical Emergency Rescue Services dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

Terkini, JBPM terlibat dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy - NBOS), Goverment Intergrated Radio Network (GRIN) dan Malaysia Emergency Respon System (MERS).

Antara slaid yang ditayangkan semasa sesi ceramah berlangsung | Foto oleh Carlos George
Program ceramah yang dijangka akan menjalankan demontrasi memadam kebakaran terpaksa dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, maklumat yang disampaikan sangat bermanfaat kepada semua warga kolej yang menyertai sesi ceramah ini. 

Sebagai menghargai kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Tawau, Cikgu Awalluddin Misran, yang mewakili pihak pentadbir menyampaikan cenderahati kenangan kepada Tuan Mohd Razali Ahmad, dan pihak JBPM turut menyampaikan cenderakenangan kepada pihak kolej.

Cikgu Awalluddin Misran menyampaikan cenderahati kenangan kepada Tuan Mohd Razali | Foto oleh Carlos George

Tuan Mohd Razali menyampaikan cenderahati kepada Cikgu Awalludin, sambil diiringi oleh Encik Awang Jamri | Foto oleh Carlos George

Terima kasih diucapkan kepada pihak JBPM Daerah Tawau, terutamanya Ketua Balai, Tuan Mohd Razali Ahmad yang sudi turun padang untuk menyampaikan ceramah kepada para pelajar Kolej Vokasional Tawau.