Hari Keluarga KV Tawau Disambut Meriah

Gambar kenangan Program Hari Keluarga di Kelab Tanjung Batu anjuran KKRKVT 2015 bersama barisan pentadbir dan ahli keluarga guru-guru | Foto oleh Carlos George

Hari Keluarga Kolej Vokasional Tawau yang telah berlangsung di Kelab Tanjung Batu, Tawau disambut dengan meriah dengan kehadiran guru bersama ahli keluarga masing-masing.

Program Hari Keluarga dimulakan dengan acara Senamrobik yang dikendalikan oleh Cikgu Abdul Alif. Cikgu Abdul Alif yang mempunyai minor dalam bidang Seni Tari, UPSI menyediakan gerakan senaman yang cukup menyeronokkan diiringi oleh alunan musik rancak seperti Lagu Sakitnya Tuh Disini oleh Cita Citata.


Acara senamrobik diketuai oleh Cikgu Abdul Alif mendapat sambutan hangat dari para peserta | Foto oleh Carlos George

Encik Rangiah bersama anaknya, Suresh dengan barisan pentadbir, Encik Azman dan Encik Doimeh melakukan senamrobik | Foto oleh Carlos George 

Semasa acara Senamrobik berlangsung, Pertandingan Memancing turut berjalan. Para pemancing sibuk memasang pancing mereka dan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk merebut hadiah yang ditawarkan.

Encik Saip Hindia, Timbalan YDP PIBG yang mewakili YDP PIBG yang tidak dapat hadir turut menyertai pertandingan memancing | Foto oleh Carlos George

Selepas mengeluarkan peluh dalam acara Senamrobik, jawatankuasa Sukaneka menyediakan tapak permainan untuk acara Sukaneka sementara yang lain menikmati sarapan pagi. Dalam masa yang sama, ramai kanak-kanak sudah pun mengambil peluang untuk bermandi manda di kolam renang yang tersedia di kelab berkenaan.


Antara yang terawal masuk ke dalam kolam | Foto oleh Carlos George

Suasana disekitar kolam renang Kelab Tanjung Batu, Tawau pada hari berkenaan | Foto oleh Carlos George

Acara Sukaneka menampilkan dua kategori iaitu Kanak-kanak dan Dewasa yang menawarkan hadiah berupa hamper dari tempat pertama hingga tempat ke-3. Beberapa acara mendapat sambutan yang luarbiasa dari para peserta menyebabkan acara saringan terpaksa diadakan untuk menyenaraikan peserta akhir bagi acara-acara yang terlibat.


Permainan Makan Epal Tanpa menggunakan tangan untuk Kategori Dewasa | Foto oleh Carlos George

Bersedia untuk acara mengutip gelang getah menggunakan straw | Foto oleh Carlos George

Cikgu Nurdin Muliuseng disuap dengan roti oleh anaknya semasa permainan sukaneka | Foto oleh Carlos George

Makanan yang disediakan dalam program ini menepati selera semua orang lebih-lebih lagi selepas penat bersaing dalam permainan Sukaneka sambil menikmati pemandangan dan hembusan angin laut. Antara menu yang disediakan sepanjang program ialah Ikan Bakar, Nasi Ayam, Mee Goreng, Soto Ayam dan Nasi Campur berlauk Kari Daging dan Ikan Masak Sambal. Selain daripada itu buah-buahan seperti betik, rambutan dan tembikai turut dihidang sebagai pencuci mulut. 


Jawatankuasa Bakar Ikan yang diketuai oleh Cikgu Aras sambil dibantu oleh pelajar | Foto oleh Carlos George

Menikmati makan tengahari sambil melihat acara sukaneka yang sedang berlangsung | Foto oleh Carlos George

Selepas semua orang menikmati makan tengahari, acara diteruskan dengan majlis meraikan Hari Jadi ahli KKRKVT yang lahir dari bulan April hingga bulan September. Acara pemotongan kek diketuai oleh Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy yang turut menyambut hari lahir pada 1 Julai. 

Acara pemotongan kek hari jadi yang diketuai oleh Encik Rangiah | Foto oleh Carlos George

Selepas itu, majlis dengan berbesar hati menjemput Pengarah, Encik Rangiah untuk menyampaikan ucapan sempena program ini. Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada guru yang menimang cahayamata baru, pengantin baru dan para pemenang acara Sukaneka.


Pengarah, Encik Rangiah semasa memberikan ucapan sambil diiringi oleh Cikgu Mohd Fadzilah Husin | Foto oleh Carlos George

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa KKRKVT yang dipengerusikan oleh Cikgu Mohd Fadzilah Husin kerana telah berjaya menganjurkan program Hari Keluarga dengan jayanya. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Cikgu Talip Maming yang telah mendapatkan tempat yang cukup kondusif untuk pelaksanaan Hari Keluarga, di Kelab Tanjung Batu, Tawau tanpa dikenakan bayaran dan juga kepada Cikgu Mohd Ali Amin dan Cikgu Mohd Hatta Hassan yang telah menghidupkan suasana Hari Keluarga selaku pengacara majlis pada hari berkenaan.

"Saya berharap agar semangat kekeluargaan ini akan diteruskan dan secara tidak langsung dapat memupuk nilai-nilai kemanusiaan antara ahli.", katanya lagi sebelum mengakhiri ucapan beliau.


Hadiah kepada pengantin baru, Cikgu Zam Zam yang telah melangsungkan perkahwinan pada 29 Ogos 2015 | Foto oleh Carlos George


Tahniah Cikgu Wong Yun Shing yang memenangi acara Mengutip Gelang Getah Menggunakan Straw | Foto oleh Carlos George 

Encik Adam Shah berjaya menaikkan seekor ikan sembilang, satu-satunya ikan yang dapat dipancing pada hari tersebut. Ikan ini berjaya meraih dua hadiah berupa hamper untuk kategori hasil paling pantas dan hasil paling berat | Foto oleh Carlos George

Program Hari Keluarga 2015 menutup tirai dengan sesi bergambar beramai-ramai bersama banner program. Terima kasih kepada semua ahli kerana memberikan kerjasama sepenuhnya terutamanya ketua-ketua jabatan yang berjaya menyediakan menu makanan seperti yang telah dibincangkan dalam mesyuarat. Semoga program seumpamanya akan dapat dianjurkan lagi dibawah pengurusan KKRKVT yang komited untuk menjaga kebajikan dan melaksanakan program berunsur kekeluargaan demi kebaikan bersama.

Gambar lain semasa program ini berlangsung boleh dilihat dalam album facebook dibawah: