Majlis Persaraan Mr Yee Wai Chiong: Jasamu Dikenang, Kekal Dihati....

Mr Yee Wai Chiong bersama barisan pentadbir dimeja VVIP | Dari kiri: Pengerusi KKRKVT, Encik Mohd Fadzilah Husin, Timbalan Pengarah Akademik, Encik Azman Bin Mansor, Pengarah Kolej Vokasional, Encik Rangiah A/L Muthusamy, Mr Yee Wai Chiong, Timbalan YDP PIBG KV Tawau, Encik Mohd Saip Hindia, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Encik Doimeh Dolinting dan Ketua Jaminan Kualiti, Encik Yahaya Ismail | Foto oleh Carlos George

Dalam program berasingan pada jam 2.00 petang, semalam, satu Majlis Jamuan Akhir Tahun KKRKVT yang turut meraikan Majlis Persaraan Mr Yee Wai Chiong telah dilangsungkan di Dewan Tun Ahmad Shah, Kolej Vokasional (KV) Tawau.

Dalam ucapan Pengerusi KKRKVT, Encik Mohd Fadzilah Husin dan Pengarah, Encik Rangiah A/L Muthusamy, masing-masing mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan sumbangan sepanjang perkhidmatan di Kolej Vokasional Tawau.


Ucapan penghargaan daripada Pengerusi KKRKVT, Encik Mohd Fadzilah Husin | Foto oleh Carlos George

Mr Yee memberikan tumpuan kepada ucapan daripada Pengerusi KKRKVT, Encik Mohd Fadzilah Husin | Foto oleh Carlos George

Dalam ucapan Mr Yee Wai Chiong, beliau mengimbas semula kenangan semasa pertama kali menjejakkan kaki ke Kolej Vokasional Tawau (SM Teknik Tawau) pada Mac 2000. Ketika itu, nama SM Teknik Tawau sedang meningkat dibawah pimpinan Datuk Mary Yap Kain Ching dan beliau rasa sangat bersemangat untuk mengajar matapelajaran vokasional, Kursus Pengaturcaraan Komputer.


Mr Yee Wai Chiong berkongsi pengalaman dan falsafah semasa menyampaikan ucapan dalam majlis ini | Foto oleh Carlos George

Antara pensyarah yang turut hadir dalam majlis ini | Foto oleh Carlos George

Beliau sangat berterima kasih kepada Datuk Mary Yap Kain Ching, Pengetua Cemerlang SM Teknik Tawau (ketika ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) yang memberikan beliau peluang untuk melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda pada umur 41 tahun ketika itu. Ini kerana had umur untuk permohonan melanjutkan pelajaran ialah 42 tahun dan peluang tersebut digunakan sebaik-baiknya untuk mengenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknologi Maklumat.

Berkhidmat selama 15 tahun 7 bulan 4 hari di Kolej Vokasional Tawau bersama lima orang pengetua dan pengarah, telah memberikan suatu pandangan yang berbeza terhadap bahagian pengurusan. Ini kerana beliau pernah menjawat jawatan Penyelia Petang semasa berada di SM Konven St Cecelia, Sandakan pada tahun 1991 sehingga 1993 namun pada masa itu, beliau terpaksa akur bahawa bidang pengurusan kurang sesuai untuk dirinya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak pentadbir yang telah bekerja keras memimpin dan menguruskan telatah dan perangai guru selama ini.

Anak sulung Mr Yee, Yee Tzyypirng telahpun mengikut jejak langkah beliau menjadi seorang pendidik dan sedang bertugas sebagai guru di SMK Bum-bum, Semporna sejak 2013.

Merujuk kepada perancangan selepas bersara, Encik Yee telahpun memohon sebagai Pegawai Pengesah Luaran (PPL) untuk Operasi Sistem Komputer, melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan akan kembali ke Pulau Pinang bersama isteri, yang juga seorang guru. Sebagai makluman, permohonan isteri Mr Yee untuk bertukar ke Pulau Pinang telahpun diluluskan.

Sebelum menutup ucapan, Mr Yee berkongsi tentang falsafahnya dalam pekerjaan iaitu "Work is Worship, Service is Prayer" atau Kerja ialah Ibadah, Pelayanan ialah Doa. Dengan melakukan kerja seharian sebagai ibadah, iaitu bekerja untuk Tuhan dan melayani setiap orang sebagai satu doa, secara tidak langsung akan menjadikan kita gembira walaupun dalam persekitaran kerja yang banyak tekanan. Kesannya akan dapat dirasai, bukan sahaja ditempat kerja tetapi juga dalam keluarga dan masyarakat. 

Selepas ucapan Mr Yee, majlis diteruskan dengan jamuan makan, penyerahan sumbangan khairat kematian, penyerahan hadiah bagi yang menimang cahayamata baru dan pemotongan dua kek khas untuk Sambutan Hari Jadi untuk para guru/pensyarah yang lahir pada bulan Oktober, November dan Disember dan kek persaraan Mr Yee.





Acara pemotongan kek persaraan Mr Yee bersama dengan barisan pentadbir | Foto oleh Carlos George


Gambar kenangan beramai-ramai barisan pentadbir, pensyarah dan AKP bersama Mr Yee selepas majlis jamuan tamat | Foto oleh Carlos George

Selepas sesi bergambar, Mr Yee diiring ke Pejabat Am untuk menyempurnakan penyerahan Nota Penyerahan Tugas dan melakukan thumbprint terakhir. Para pelajar Program Teknologi Sistem Komputer dan Rangkaian turut sama memberikan penghormatan bagi Mr Yee dengan memenuhi ruang luar pejabat sambil bersalaman dengan Mr Yee.




Barisan pelajar Diploma Tahun 1 Program Teknologi Sistem Komputer dan Rangkaian memberi penghargaan sambil bersalaman dengan Mr Yee selepas melakukan thumbprint terakhir | Foto oleh Carlos George

Pelajar Pra Diploma Tahun 1 dan Tahun 2 turut sama memberikan penghargaan kepada Mr Yee | Foto oleh Carlos George

Dan, buat pertama kalinya, dalam sejarah persaraan Kolej Vokasional Tawau, barisan pentadbir mengiringi Mr Yee sehingga ke rumahnya di Taman Villa, Jalan Sin Onn, Tawau dengan menaiki van KV Tawau.




Gambar kenangan dihadapan rumah Mr Yee di Taman Villa, Jalan Sin Onn, Tawau bersama barisan pentadbir | Foto oleh Carlos George

Sekalung ucapan tahniah kepada pihak penganjur dan buat Mr Yee, 

Semekar budi, Sejambak Memori, Jasamu Diingati, Kekal Dihati.....

CATATAN:
Album Hari Persaraan Mr Yee Wai Chiong akan dikemaskini dalam Page Facebook Blog KV Tawau.