Encik Yee Wai Chiong Bersara Wajib 4 Nov 2015

Pelukan Selamat Bersara dari Timbalan Pengarah Akademik, Encik Azman Bin Mansor (dua dari kanan) kepada Encik Yee Wai Chiong (dua dari kiri) yang mulai bersara pada 4 Nov 2015 disaksikan oleh Pengarah, Encik Rangiah A/L Muthusamy (kanan) | Foto oleh Carlos George

Encik Yee Wai Chiong yang lebih mesra dengan panggilan Mr Yee, bersara wajib mulai 4 November 2015, diraikan dalam satu majlis bersama para guru/pensyarah dan pelajar Kolej Vokasional Tawau pada 3 Nov 2015 di Dewan Tun Ahmad Shah.

Majlis perjumpaan dengan pelajar ini bermula pada jam 7:00 sehingga 8.15 pagi yang melibatkan ucapan pengarah, ucapan persaraan, sesi bergambar dan sesi bersalaman dengan guru/pensyarah dan pelajar.


Ucapan penghargaan dari Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy | Foto oleh Carlos George

Dalam ucapan pengarah, Encik Rangiah A/L Muthusamy mengucapkan terima kasih kepada Mr Yee atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan selama berkhidmat di Kolej Vokasional Tawau (SM Teknik Tawau pada ketika itu) sejak 30 Mac 2000. Beliau turut menyeru kepada para pelajar dan pensyarah untuk menjadikan Mr Yee sebagai icon kerana beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam tiga perkara utama sebagai seorang guru dan manusia iaitu menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, perancangan yang teliti dan kepentingan keluarga.

"Perancangan yang teliti perlu bagi seseorang itu kerana kita perlu menghalusi semua cabaran yang datang sebelum melakukan tindakan susulan. Perancangan ini merangkumi pendidikan, ekonomi, keluarga dan masa depan, dan Mr Yee telah menunjukkan kualiti ini dari mula beliau berkhidmat sehingga ke hari ini".


Encik Rangiah mengiringi Mr Yee ke rostrum untuk memberikan ucapan persaraan kepada pensyarah dan pelajar | Foto oleh Carlos George

Encik Rangiah turut mengumumkan Encik Yee sebagai pensyarah jemputan bagi Kolej Vokasional Tawau bagi menghargai jasa beliau selama ini.

Mr Yee yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 4 November 1955 mula bertugas sebagai guru dengan gred DG6 (pada waktu itu) di SMK Pengiran Omar, Sipitang pada 7 Januari 1980 setelah menamatkan pengajian peringkat sijil perguruan di Maktab Gaya, Kota Kinabalu dalam bidang Matematik pada 30 November 1979. Selepas itu, beliau berpindah ke SM Tiong Hua, Sandakan (1 Januari 1983 - 31 Disember 1986), SM Konven St Cecelia, Sandakan (1 Jan 1987 - 30 Nov 1993) dan SMK Jalan Apas Tawau (1 Disember 1993 - 30 Jun 1996). Kemudian beliau membuat keputusan untuk meneroka bidang baru, Bidang Teknologi Maklumat dan melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Teknik (MPT) pada 1 Julai 1996. Setelah tamat pengajian selama setahun di MPT, beliau meneruskan minat beliau dan menyambung pengajian untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Universiti Perguruan Sultan Idris dari 1 Julai 1997 sehingga 25 Mac 1999.


Wajah Mr Yee tetap kelihatan ceria walaupun menahan sebak di dada | Foto oleh Carlos George

Mr Yee yang berucap selepas itu menyatakan rasa terima kasih kerana diberikan penghargaan dan peluang bertemu dengan semua pelajar sempena hari persaraan beliau.

Menurut beliau, profesion perguruan merupakan cita-cita beliau dari kecil dan antara ayat yang mendorong beliau ialah Tamadun Tanpa Pendidikan Akan Musnah.

"Keluarga saya agak susah dan terpaksa berpindah dari Pulau Pinang ke Sabah pada waktu itu kerana mengikuti bapa yang bekerja dan membuka perniagaan di sini. Dari situ, saya melihat pendidikan sebagai satu ruang untuk membuat perubahan dalam kehidupan, dan disanalah saya mula melangkah untuk mencapai cita-cita sebagai guru".

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman tentang keadaan sistem perhubungan darat dan laut di bahagian Pantai Timur Sabah yang meliputi Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu.


Mr Yee menjadi tetamu paling kehormat (VVIP) dalam majlis ini | Foto oleh Carlos George

"Masakini, sistem perhubungan darat sudah banyak mengalami perubahan. Masa dulu, untuk ke Tawau dari Lahad Datu, kami terpaksa menaiki bot. Jalan raya juga masih belum bertar dan rambut juga berubah warna akibat debu yang berterbangan semasa melalui jalan berkenaan."

Beliau mengakhiri ucapan dengan pesanan kepada pelajar, jangan melepaskan peluang, kerana waktu itu tidak akan terulang lagi. Ini adalah masa untuk mereka untuk memperbaiki diri dan merebut semua peluang yang ada untuk maju kehadapan.


Gambar kenangan Mr Yee bersama barisan pentadbir, guru/pensyarah dan pelajar | Foto oleh Carlos George

Majlis ini berakhir dengan sesi bersalaman antara Mr Yee dengan pensyarah dan para pelajar.

Mr Yee Wai Chiong berjalan keluar dewan sambil bersalaman dengan pelajar dan diiringi oleh TPSA, Encik Azman Mansor (dua dari kanan) dan Pengerusi KKRKVT, Mohd Fadzillah Husin (kanan) | Foto oleh Carlos George