Skuad Takraw Akur, Tewas Di Suku Akhir

Team KV Tawau B yang bersaing dalam pertandingan kali ini | Foto oleh Aras Japar

Skuad Takraw Kolej Vokasional Tawau yang dalam persediaan menuju Kejohanan Antara Kolej Vokasional (VOKTEK) pada hujung Mac nanti, menghantar dua pasukan, Team KV A dan Team KV B ke Pertandingan Sepak Takraw Peringkat MSS Daerah Tawau untuk mengukur kemampuan dan persediaan skuad yang sedang menjalani latihan.

Pertandingan ini adalah anjuran SMK Pasir Putih, Tawau bersama PPD Tawau dan telah berlangsung di Kompleks Sukan Tawau dari 20 hingga 22 Januari 2016.

Dalam pertandingan berkenaan, Team KV A tersungkur di pusingan peringkat Kumpulan B apabila hanya memenangi satu perlawanan iaitu menentang SMK Kabota A tetapi tewas tiga kali kepada SMK Umas-umas, SMK Wakuba dan SMK Abaka B.

Team KV Tawau A | Foto oleh Aras Japar

Team KV B pula berjaya mara ke pusingan suku akhir apabila berjaya menduduki tempat naib juara dalam Kumpulan D setelah menewaskan SMK Titingan, SMK Kabota B, SMK Merotai A tetapi tewas kepada SMK Balung B.

Menanti diperingkat suku akhir ialah Pasukan SMK Kalabakan, antara pasukan yang turut disegani untuk sukan sepak takraw dan Team KV B terpaksa akur dengan kekalahan selepas melalui satu perlawanan sengit yang menyaksikan SMK Kalabakan menang dalam set penentuan dengan keputusan 15-12, 13-15 dan 16-18.

Antara aksi perlawanan yang sempat dirakam oleh Cikgu Aras Japar

Meskipun kehilangan Cikgu Ahmad Hussein yang berpindah ke KV Slim River, Perak masih dirasai, skuad dibawah kendalian Cikgu Aras Japar dan Cikgu Awalludin Misran ini akan terus berlatih untuk menjulang kemenangan di kejohanan VOKTEK nanti.