Pengarah, Encik Rangiah memberikan taklimat ringkas dan ucapan alu-aluan kepada para ibubapa dan pelajar baru sebelum proses pendaftaran bermula, semalam | Foto oleh Carlos George |
Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy mengambil peluang untuk memberikan taklimat ringkas mengenai Sistem Kolej Vokasional semasa memberikan ucapan alu-aluan kepada ibubapa dan pelajar baru sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baru Kohort 2016, semalam.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang telah terpilih untuk mengikuti pengajian di Kolej Vokasional Tawau, kerana KV Tawau hanya menawarkan 222 kekosongan untuk 13 kursus yang ditawarkan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kolej Vokasional bukan pilihan terakhir untuk meneruskan pengajian atau menempatkan anak-anak yang tidak mendapat keputusan yang baik kerana permohonan secara online ke Kolej Vokasional Tawau melebihi angka 1400 dan rata-rata pemohon mempunyai gred yang baik.
"Kesedaran masyarakat tentang kepentingan kemahiran vokasional dalam persaingan mendapatkan pekerjaan dalam mana-mana industri pada masa ini, sangat memberangsangkan. Memilih dan terpilih masuk ke Kolej Vokasional Tawau merupakan satu rahmat dan gunakan peluang yang diberi untuk masa depan yang lebih baik".
Antara ibubapa dan pelajar yang hadir semasa slot taklimat oleh pengarah | Foto oleh Carlos George |
Menurut beliau lagi, Sistem Kolej Vokasional merupakan sebuah sistem pendidikan yang lebih mencabar dan menarik berbanding Sistem Persekolahan Arus Perdana yang memfokuskan kepada produk mahir dan separa mahir bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Sistem Kolej Vokasional yang kini menawarkan pengajian peringkat Diploma selama 4 tahun 5 bulan yang merangkumi Peringkat Sijil Vokasional selama dua tahun, sememangnya mencabar dan berkemungkinan pelajar akan mendapat gangguan atau tekanan daripada persekitaran. Oleh itu, beliau menyeru kepada ibubapa untuk membantu pihak kolej mengingatkan para pelajar supaya fokus kepada pengajian selama berada di Kolej Vokasional Tawau.
"Ibubapa dan pelajar perlu faham keadaan ini supaya tidak berlaku masalah yang boleh mengakibatkan pelajar tersebut dibuang atau disingkirkan. Sekiranya diberhentikan atau dibuang kolej semasa pengajian, anda hanya membazirkan masa anda disini."
Encik Rangiah menyapa dan beramah mesra dengan para ibubapa selepas memberikan taklimat | Foto oleh Carlos George |