Kami Juara Lagi!!! - Pasukan Ragbi Kolej Vokasional Tawau

Pasukan KV Tawau melakukan serangan ketika perlawanan menentang Pasukan SMK Kinabutan...

Pertandingan Ragbi Peringkat MSSD Tawau Bawah 18 tahun 2014 menyaksikan dua buah kumpulan yang melibatkan 7 buah sekolah menengah bersaing untuk menempah tempat ke peringkat akhir dan seterusnya merangkul gelaran Juara Pertandingan Ragbi Peringkat MSSD Tawau 2014....

Antara aksi perlawanan menentang Pasukan SMK Kinabutan..

Pertandingan yang telah berlangsung di Padang Kolej Vokasional Tawau pada 03-05 April yang lalu ini, ternyata menuntut segala usaha dan kudrat pemain untuk merealisasikan impian masing-masing. Selaku Juara Bertahan 2013, para pemain, pengurus dan jurulatih Kolej Vokasional Tawau telah bersedia sedaya upaya untuk memastikan gelaran Juara Ragbi Peringkat MSS Daerah Tawau, kekal.


Semangat kesukanan!!.. Tetap menghargai keseronokan bersukan walaupun adakalanya perasaan ingin menang lebih menguasai diri...






Pasukan KV Tawau beraksi dalam kumpulan A bersama SMK Kinabutan dan SMK Merotai. Dalam perlawanan pertama, pasukan KV Tawau menentang pasukan SMK Kinabutan dan keputusannya, pasukan KV Tawau berjaya menewaskan pasukan lawan dengan melakukan 3 TRY tanpa balas dengan jumlah mata 20 berbalas 0. Perlawanan kedua dianggap penting kerana ianya adalah perlawanan penentuan untuk kedudukan juara dan naib juara kumpulan A memandangkan SMK Merotai telah pun mengalahkan SMK Kinabutan dalam perlawanan pembukaan kumpulan A.


Kata-kata motivasi diberikan dan kelemahan dalam permainan dibincangkan bersama pemain oleh jurulatih dan pengurus pasukan...

Seperti yang diramalkan, pasukan KV Tawau mendapat saingan yang sengit namun pemain-pemain dapat menyerap tekanan dan asakan pihak lawan dengan memperoleh kemenangan dengan melakukan 2 TRY dan 1 CONVERSATION yang cantik dengan jumlah mata 12 berbalas 0. Dengan kemenangan tersebut, pasukan KV Tawau secara automatik mengetuai Kumpulan A sebagai juara kumpulan.

Pasukan MRSM berjersi hijau adalah antara musuh tradisi Pasukan Kolej Vokasional Tawau | Foto perlawanan antara MRSM dan SMK Balung

Perlawanan separuh akhir menentang pasukan MRSM dianggap perlawanan buku bertemu ruas memandangkan kedua-dua pasukan pernah beberapa kali bergelar juara dan terkenal dengan semangat melawan. Pasukan KV Tawau terlebih dahulu melakukan TRY tetapi akhirnya ketinggalan 12-5 pada masa pertama akibat kelalaian dan kehilangan fokus di bahagian BACK LINE.

Cikgu Ahmad Zabidi (biru) turut beraksi dalam pertandingan ini selaku pengadil perlawanan...

Masa rehat digunakan sebaik-baiknya oleh jurulatih untuk memotivasikan pemain dan mengubah TACTICAL GAME. Perlawanan bersambung dan disiplin pemain di bahagian FORWARD ketika melakukan RUCKING dan SCRUM berjaya mengkucar-kacirkan pihak lawan dan akhirnya pasukan KV Tawau berjaya melakukan TRY untuk menyamakan kedudukan sehingga wisel tamat. Perlawanan dilanjutkan kepada masa tambahan 20 minit dan pasukan KV Tawau telah menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila  berjaya lagi melakukan 2 TRY seterusnya melangkah ke perlawanan akhir dengan mata 36 berbalas 24.

Perlawanan akhir kali ini menemukan semula lawan di peringkat kumpulan iaitu pasukan SMK Merotai. Ternyata, hajat pasukan SMK Merotai untuk menebus kekalahan dalam peringkat kumpulan tidak kesampaian apabila pasukan KV Tawau telah membuktikan bahawa disiplin, usaha keras dan kerja berpasukan merupakan ramuan terbaik untuk bergelar juara dan menjadi pasukan yang disegani dalam sukan ragbi. Pasukan KV Tawau menang bergaya dengan mendapat 9 TRY dan memperoleh mata sebanyak 55 tanpa balas.


Gambar sejurus menerima pingat dan Piala Juara | Foto oleh: Cikgu Mohammad Nur Elmi Bin Abdul Hamid


Laporan bertulis disediakan oleh:
Md Jamree Bin Abd Latief

(Jurulatih Ragbi KV Tawau)

Disunting untuk Blog KV Tawau oleh:
Blogmaster Blog KV Tawau