Hari Terbuka Jabatan Hospitaliti, Platform Pelajar Tunjuk Kemahiran

BERGAYA | Barisan pelajar Diploma Semester 1, Kursus Fesyen dan Pembuatan Pakaian memperagakan rekaan masing-masing dalam Pertunjukan Fesyen yang turut berlangsung dalam program ini | Foto oleh Carlos George

Program Hari Terbuka dan Hari Suai Mesra Amal Jabatan Hospitaliti menjadi platform kepada pelajar untuk menunjukkan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang mengikuti kursus di Kolej Vokasional (KV) Tawau.

Program serampang dua mata ini telah berlangsung di Dewan Tun Ahmadshah, KV Tawau pada 7 Mac 2015 yang lalu. Selain menjadi perantara untuk mempromosi dan memperkenalkan kursus-kursus yang ditawarkan oleh Jabatan Hospitaliti, program ini turut meraikan anak-anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Tawau (PRAY) dalam Majlis Makan Tengahari Bersama Anak Yatim.


Pengarah KV Tawau, Rangiah A/L Muthusamy (kiri) bersama YDP Alumni KV Tawau, Hajah Saliha Haji Tahir (kanan) semasa Majlis Makan Tengahari Bersama Anak Yatim | Foto oleh Carlos George
Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah KV Tawau, Rangiah A/L Muthusamy mengucapkan tahniah kepada Jabatan Hospitaliti yang telah memberikan peluang kepada pelajar untuk mengendalikan program Hari Terbuka ini sepenuhnya. Beliau turut menyentuh aspek keusahawanan yang merupakan salah satu dasar BPTV yang menetapkan sasaran 10% graduan Diploma Vokasional Malaysia akan menjadi usahawan. Oleh itu, Program School Enterprise (SE) akan dipergiatkan lagi untuk memberikan pendedahan dan dalam masa yang sama membantu dalam proses membangunkan kemahiran pelajar ke tahap maksima.

Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YDP Alumni KV Tawau, Hajah Saliha Binti Haji Tahir yang mengucapkan tahniah kepada Kolej Vokasional Tawau yang berjaya menganjurkan program ini.

YDP Alumni KV Tawau, Hajah Saliha Haji Tahir ketika menyampaikan ucapan perasmian | Foto oleh Carlos George
Melalui program seperti ini, para pelajar mempunyai platform untuk mengaplikasikan kemahiran yang sudah dipelajari dan turut membuka mata masyarakat bahawa kumpulan pelajar dari Jabatan Hospitaliti KV Tawau secara amnya sudah bersedia untuk memasuki pasaran kerja. Usaha seperti ini secara tidak langsung akan menarik minat pelajar dari sekolah feeder untuk masuk ke kolej ini. 

Sebagai alumni KV Tawau, beliau merasa sangat bangga dan ingin melihat para graduan Diploma Vokasional Malaysia untuk terus maju ke hadapan dan mengisi kekosongan tenaga pekerja mahir yang sememangnya sangat diperlukan oleh negara Malaysia yang sedang menuju status negara maju menjelang tahun 2020.

Turut disampaikan semasa majlis ini ialah sumbangan kepada anak-anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Tawau (PRAY). Sumbangan pertama adalah daripada Jabatan Hospitaliti KV Tawau yang dikumpul melalui kutipan Kupon Makan Tengahari yang disampaikan oleh Hajah Saliha dan sumbangan kedua daripada BORNEO SUCCESS COMMUNITY (BSC).
 
Sumbangan Jabatan Hospitaliti disampaikan oleh Hajah Saliha kepada wakil Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Tawau | Foto oleh Carlos George
Sumbangan dari Borneo Success Community (BSC) kepada wakil Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Tawau | Foto oleh Carlos George
Gambar kenangan bersama anak-anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Tawau | Foto oleh Carlos George
Aktiviti lain yang berlangsung semasa program ini ialah Pertandingan Pakaian Beragam, Pertunjukkan Fesyen, Kiosk Perkhidmatan Manikur dan Solekan, Jualan Makanan, Persembahan Silat Ustaz Hanafi, booth pameran hasil tangan pelajar dan cabutan bertuah. 


Pelajar Kursus Kosmetologi sedang menyolek Ketua Jabatan Hospitaliti, Puan Mariani Kisman | Foto oleh Carlos George
Cik Rokiah Hashim sedang menerima layanan manikur di Kiosk Manikur Kursus Kosmetologi | Foto oleh Carlos George
Booth pameran Kursus Bakeri dan Pastri | Foto oleh Carlos George
KONGSI MAKLUMAT | Pelajar Kursus Seni Kulinari menerangkan serba sedikit tentang kompetensi kursus yang telah dilalui sepanjang pengajian di Kolej Vokasional Tawau | Foto oleh Carlos George
Para peserta dengan ibubapa dalam Pertandingan Pakaian Beragam anjuran Kursus Perkhidmatan Asuhan Kanak-kanak | Foto oleh Carlos George
MENJAMU SELERA | Susunan dan hiasan di atas meja buffet adalah hasil gubahan para pelajar Diploma Tahun 1 Kursus Rekaan Fesyen manakala, makanan dan minuman disediakan oleh pelajar Diploma Tahun 1 Kursus Seni Kulinari dan Kursus Bakeri dan Pastri | Foto oleh Carlos George