Pasukan Bolasepak KV Tawau Sedia Ulang Sejarah 2014

GAMBAR BERSAMA PASUKAN LAWAN | Pasukan KV Tawau (jersi warna maroon) dengan Pasukan SMK Kabota (jersi warna biru) | Foto oleh Carlos George

Pasukan Bolasepak Bawah 18 tahun Kolej Vokasional (KV) Tawau meneruskan siri perlawanan persahabatan semalam, 11 Mac 2015 menentang Pasukan Bolasepak Bawah 18 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Kabota, Tawau. Perlawanan yang bermula pada jam 4.45 petang ini menyaksikan kegairahan pasukan KV Tawau untuk membaham mangsanya setelah menang dalam tiga perlawanan persahabatan berturut-turut sebelum ini.

Perlawanan yang dimaksudkan ialah kemenangan 5-1 ke atas pasukan Sekolah Menengah Islamiah Tawau (SMIT), 6-0 ke atas Pasukan Guru-Guru Merotai dan 8-0 ke atas pasukan Tawau Football Academy (TFA).


Ahmad Fakirullah terlepas peluang untuk menjaringkan gol apabila berjaya dihalang oleh pemain pertahanan pihak lawan | Foto oleh Carlos George
Dengan mempertaruhkan kesebelasan utama pasukan dalam separuh masa pertama, pasukan KV Tawau menguasai 70% perlawanan dengan beberapa percubaan yang tersasar dari gawang gol pihak lawan. Gol pertama dihasilkan melalui tendangan percuma yang disempurnakan oleh M. Syukri Baharum, pemain tengah.


Mohd Lufty Wony berjaya menjaringkan gol kedua sambil diperhatikan oleh rakan yang sedang menjalani latihan ragbi di luar padang | Foto oleh Carlos George
Pasukan KV Tawau menang selesa dalam perlawanan ini, 7-0.

Walaupun masih awal untuk menyatakan bahawa pasukan ini akan memenangi Pertandingan Bolasepak Bawah 18 tahun MSS Daerah Tawau, Ketua Jurulatih Pasukan, Cikgu Lawrensia Allvianus Ganang yakin bahawa pasukan ini berada pada landasan tepat untuk mengulangi sejarah 2014.