Pelajar Lewat Bakal Menyusahkan Ibubapa

Pengarah, Encik Rangiah menyampaikan Watikah Perlantikan kepada Ketua Program dalam Majlis Perhimpunan Mingguan Kolej semalam | Foto oleh Carlos George

Dalam setiap Majlis Perhimpunan Mingguan Kolej, guru yang bertugas pada minggu sebelumnya akan memberikan laporan. Namun, masalah disiplin yang sama dilaporkan setiap minggu terutamanya pelajar luar yang lewat dengan alasan masalah kenderaan.

Ini telah menarik perhatian Pengarah KV Tawau, Encik Ranggiah A/L Muthusamy untuk membawa satu pendekatan baru dalam menangani masalah ini.

"Setiap minggu, kita mendengar masalah disiplin yang sama. Lewat hadir ke kolej dan pelajar yang lewat ini memberikan alasan yang sama setiap kali. Mula minggu depan, kita akan menggunakan Borang Pengesahan Kehadiran yang perlu ditandatangani ibubapa setiap kali pelajar ke kolej. Kerjasama ibubapa sememangnya amat diperlukan dalam menangani masalah datang lewat ke kolej ini. Kita tidak boleh lagi mendengar alasan dari pelajar, tapi kita akan dengar alasan dari ibubapa. Kalau boleh, jangan bagi ibubapa menitiskan air mata kerana masalah kamu, dosa," katanya dalam slot ucapan pengarah.

"Lebih buruk, apabila pelajar sudah biasa lewat ke kolej, sikap ini akan dibawa ke tempat kerja. Ini boleh menjatuhkan maruah kolej," tambahnya lagi.  

Dalam majlis yang sama, pengarah turut menyampaikan Watikah Perlantikan Ketua Program (ketua kelas) untuk semua program Pra Diploma Tahun 1, Pra Diploma Tahun 2 dan Diploma Tahun 1.

Antara pelajar Program Pra Diploma Tahun 2 yang turut menerima Watikah Perlantikan. Adam Lampong (kanan) dari Program Pra Diploma Pemesinan Industri Tahun 2 berasa amat bangga kerana menerima pengiktirafan dari pihak kolej untuk sumbangan mereka | Foto oleh Carlos George

Kepada para penerima watikah, pengarah mengucapkan tahniah dan berharap agar mereka melaksanakan tanggungjawab yang sudah diamanahkan ini dan buat yang terbaik. Tugas pertama kumpulan ini ialah menguruskan dana RM100.00 yang telah diberikan oleh pihak kolej untuk menceriakan kelas mereka dalam tempoh dua minggu.

Beliau juga mengingatkan tentang Tranformasi Pendidikan Vokasional Malaysia, yang mana kerajaan Malaysia menyediakan peruntukan yang sangat besar untuk sistem pendidikan vokasional Malaysia supaya dapat menghasilkan pelajar yang boleh menguasai kemahiran mereka mengikut program masing-masing (berpandukan kepada Industrial Based Education)

Pengarah turut mengulangi tentang pentingnya mencapai KPI yang disasarkan oleh BPTV dalam keberhasilan murid. Pada semester lepas, Kolej Vokasional (KV) Tawau tidak berjaya mencapai KPI 85%. Pada tahap ini, KV Tawau boleh dianggap belum mencapai salah satu aspek dalam lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, iaitu kecekapan. Kecekapan yang dimaksudkan ialah keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber kewangan yang telah disalurkan ke dalam sistem.  

"Kita ada banyak cabaran. Mengejar kejayaan pada hari ini macam ketam dalam bakul. Sentiasa ada yang akan menarik kita ke bawah. Kita kena berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih baik."

Pengarah menerima tepukan gemuruh daripada para pelajar apabila mengakhiri ucapannya dengan laungan "Sehati, Sejiwa, Kita boleh merubah segalanya".