Promosi dan Enrolmen 2016: UPK Sertai Pameran Kerjaya SMK Abaka

GAMBAR KENANGAN | Booth Pameran Team OUTREACH di Dataran Ilmu, SMK Abaka, Tawau. (Dari kiri: Rizal, Fatihah, June, Puan Norliza, Rosneni dan Khairan) | Foto oleh Norliza Zakaria

Unit Psikologi dan Kerjaya (UPK) Kolej Vokasional (KV) Tawau bergerak ke SMK Abaka, Tawau, pagi, hari ini untuk membuat Pameran OUTREACH sempena Pameran Kerjaya dan Hari Permaufakatan Ibubapa Pelajar PT3 dan SPM, SMK Abaka.

Pasukan pameran OUTREACH yang diketuai oleh Ketua Unit Psikologi dan Kerjaya KV Tawau, Puan Norliza Zakaria, dibantu oleh lima orang pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) iaitu Nur Fatihah Aco, Rosneni Ngah, Mohd Rizal Romeo, Muhammad Khairan M. Ramli dan June Quelistha Jaifol.

Program OUTREACH merupakan antara strategi Bahagian Pendidikan Tenikal dan Vokasional (BPTV) dalam mempromosikan penawaran kursus-kursus melalui program yang lebih terancang dan seterusnya meningkatkan enrolmen pelajar.

Dengan tema ‘Pendidikan Vokasional Pilihan Utama’, hasrat BPTV khususnya dan Kementerian Pelajaran Malaysia amnya adalah untuk mengubah persepsi umum berkaitan pendidikan vokasional sebagai pilihan pendidikan kelas kedua. Sehubungan itu, masyarakat dapat melihat sendiri bagaimana pendidikan vokasional dapat membentuk masyarakat pelajar yang kreatif dan inovatif dan dapat mengaplikasikan kemahiran untuk digunakan dalam pasaran terbuka.

Pameran OUTREACH Kolej Vokasional Tawau akan diteruskan dalam tahun ini di beberapa sekolah lain dalam daerah Tawau dan Semporna. Jumpa di sana....