Jumirah Sertai Sukan Sabah (SAGA) VII 2015

Jumirah Bahri (kanan) semasa Sambutan Hari Hospitaliti 2015 | Foto oleh Carlos George

SAGA VII 2015 di Tawau akan menyaksikan penyertaan kali pertama atlit acara padang, Jumirah Binti Bahri dari Kolej Vokasional Tawau. Jumirah akan bertanding dalam acara Lempar Cakera Perempuan.

Pelajar Program Diploma Pengajian Asuhan Kanak-kanak (HAK) yang berasal dari Kampung Titingan, Tawau ini memulakan langkah 'emas' sejak tahun lepas apabila merangkul pingat emas acara lempar cakera dalam Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat MSS Daerah Tawau 2014. Dalam kejohanan yang sama pada tahun ini, Jumirah berjaya mengekalkan pencapaiannya namun terpaksa melupakan hasrat beraksi di Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat MSS Negeri Sabah yang telah berlangsung di Ranau pada bulan April lepas kerana masalah peribadi.

Bersaing dengan atlit daripada 26 daerah dalam Negeri Sabah, keupayaan sebenar Jumirah akan teruji dan berbekalkan azam untuk mengutip pingat bagi Perbandaran Tawau, Jumirah akan cuba memberikan yang terbaik seterusnya mengharumkan nama kolej dalam acara tersebut.

Turut mengiringi Jumirah mewakili Perbandaran Tawau dalam temasya SAGA ini ialah dua pemain bola sepak Kolej Vokasional Tawau iaitu Mohd Syukri Bin Baharun dan Nik Zulhelmi Bin Mohamad. Mohd Syukri adalah pemain bahagian tengah manakala Nik adalah pemain pertahanan.


Nik Zulhelmi Bin Mohamad (kiri) dan Mohd Syukri Bin Baharun (kanan) | Foto oleh Carlos George

Kedua-dua pemain ini sudah bermain untuk Kejohanan MSS Peringkat Daerah Tawau, VOKTEK Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,  Kejohanan MSS Peringkat Negeri Sabah serta Piala Ketua Menteri Sabah 2015. Mohd Syukri juga pernah bermain untuk Pasukan Negeri Sabah Bawah 15 Tahun dalam Kejohanan MSS Peringkat Kebangsaan 2014.