KV Tawau Jadi Venue Bola Sepak Lelaki SAGA VII 2015

Banner yang menyatakan venue Bola Sepak Lelaki terpampang di pintu gerbang Kolej Vokasional Tawau

Kolej Vokasional (KV) Tawau dipilih menjadi salah satu lokasi untuk Pertandingan Bola Sepak Lelaki SAGA VII 2015 (Rujuk http://www.saga.sabah.gov.my/venue). Keadaan padang bola sepak telah dibaikpulih dan menurut maklumat lain, KV Tawau turut menjadi lokasi penginapan bagi atlit seramai 557 orang yang bakal menyaksikan bangunan asrama dan kelas dipenuhi dengan atlit dari seluruh Negeri Sabah.

Kepada yang berminat untuk menyaksikan perlawanan yang akan berlangsung di Padang Kolej Vokasional Tawau, sila rujuk jadual perlawanan di http://www.saga.sabah.gov.my/jadual

Daerah Lahad Datu dan Daerah Semporna turut terlibat dalam mengendalikan beberapa jenis sukan seperti Bola Sepak Wanita, Pencak Silat Olahraga, Bola Tampar, Taekwondo dan Karate. Semua sukan yang lain akan berlangsung di Tawau.




Serba Sedikit Mengenai SUKAN SABAH (SAGA)

Sukan Sabah (Sabah Games) atau lebih dikenali dengan singkatan SAGA yang memasuki edisi ke 7 pada tahun ini adalah acara sukan berprestij anjuran Kerajaan Negeri Sabah. Penganjuran SAGA ini telah dipersetujui oleh Kerajaan dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada 5 Mac 2003. Kejohanan SAGA diadakan secara dwi-tahunan iaitu berselang-seli dengan Sukan Malaysia (SUKMA). 

SAGA diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2003 di Kota Kinabalu, SAGA II pada tahun 2005 juga dilangsungkan di tempat yang sama. Selepas itu, SAGA mula dianjurkan dikawasan lain dimana pada tahun 2007, SAGA III telah berlangsung di Tawau manakala SAGA IV di Sandakan pada 8 - 13 Jun 2009. Pada 5 - 11 Jun 2011, Keningau menjadi tuan rumah untuk SAGA V. SAGA kembali ke Kota Kinabalu dalam edisi yang ke-VI (2 - 7 Jun 2013).

Penganjuran SAGA I, II, III dan IV melibatkan penyertaan enam (6) zon di Negeri Sabah iaitu Pantai Barat Selatan, Sandakan, Tawau, Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas dan Pedalaman Bawah. Tetapi bermula pada penganjuran SAGA IV, Sandakan 2009, format penyertaan diubah yang menyaksikan penglibatan dari semua 26 daerah di Sabah (Rujuk dalam laman web SAGA di http://www.saga.sabah.gov.my/info-saga).

Penyertaan bagi sukan ini adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sabah dan berumur 21 tahun ke bawah, kecuali dinyatakan dalam peraturan pertandingan mengikut jenis sukan.

Sebanyak 11 jenis sukan berpasukan akan dipertandingkan termasuklah sukan bola jaring, bola sepak lelaki, bola sepak wanita, bola keranjang lelaki, bola tampar lelaki, bola tampar wanita hoki lelaki, hoki wanita, ragbi lelaki, sepak takraw lelaki dan sepak takraw wanita. Sukan Sabah (SAGA) VII turut mempertandingkan 20 jenis sukan lain.