Semua Bengkel Perlu Kerjasama Capai Pensijilan OSHMS

Taklimat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat BMG1, dipengerusikan oleh Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy | Foto oleh Carlos George

Taklimat Pensijilan OSHMS untuk ketua jabatan, ketua bengkel dan ketua unit (Vokasional dan ERT) telah berlangsung semalam, dibawah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kolej Vokasional Tawau.

Menurut Penyelaras, Cikgu Abdul Malik Yusuf, taklimat ini dibuat setelah kertas cadangan untuk mendapatkan pensijilan OSHMS bagi tiga bengkel iaitu Bengkel Pemesinan Industri, Bengkel Sistem Komputer dan Rangkaian dan Bengkel Seni Kulinari dipersetujui oleh pihak pentadbir.

Encik Abdul Malik (kiri) sedang memberikan taklimat mengenai OSHMS kepada semua yang hadir dalam sesi taklimat ini | Foto oleh Carlos George

Namun, setelah meneliti semua aspek termasuk perbelanjaan yang terlibat, Pengarah, Encik Rangiah A/L Muthusamy memanjangkan cadangan ini supaya semua bengkel dilibatkan untuk mencapai pensijilan tersebut.

"Aspek keselamatan semasa bekerja sangat penting untuk semua orang tidak kira pensyarah, pelajar atau orang awam. Pensijilan seperti ini boleh membantu kita dari segi pengurusan dan dapat meningkatkan keyakinan pelanggan." katanya. 

MS1722:2011 OSHMS atau Occupational Safety And Health Management System (Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) secara ringkasnya adalah suatu standard yang dibangunkan/diwujudkan oleh organisasi yang ingin mendapatkan pensijilan untuk mengurus dan mengawal risiko kesihatan dan keselamatan.

Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan tersebut perlulah berdasarkan kepada sistem standard (piawai) yang merangkumi dokumentasi, pelaksanaan, penyelenggaran dan penambahbaikan sitem tersebut dari masa ke semasa.

Setelah sistem tersebut diwujudkan dan diamalkan, pensijilan akan dipohon melalui badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia.

Antara Ketua Jabatan, Ketua Bengkel dan Ketua Unit yang hadir dalam taklimat ini | Foto oleh Carlos George

Penyelaras, Cikgu Malik turut memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan OSHMMS akan dijalankan pada minggu pertama selepas Hari Raya Aidilfitri bersama dengan Encik Mohd Hussin Abd Salam (Pengurus Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Sabah & W.P. Labuan) dan Encik Syamsul Zahrin Zainuddin (Pengurus Besar NIOSH Certification Sdn Bhd).


Rujukan: