Mesyuarat Agung PIBG KV Tawau Kali Ke-19

Penyampaian CD e-profail KV Tawau kepada YDP PIBG, Encik Abdul Samat Bin Akui. CD e-profail KV Tawau bakal diedar kepada semua ibubapa | Foto oleh Carlos George

Mesyuarat Agung PIBG Kolej Vokasional (KV) Tawau Kali Ke-19 telah berlangsung pada 15 Ogos 2015 di Dewan Tun Ahmad Shah, KV Tawau. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mansor Bin Haji Palullah, Katua Biro Pendidikan UMNO Bahagian P. 191 Kalabakan.

Mesyuarat Agung ini menampilkan agenda utama Pembentangan, Penerimaan dan Meluluskan Laporan Penyata Kewangan Berakhir 31 Mac 2015, Pembubaran Jawatankuasa PIBG Sesi 2013-2015 dan Pemilihan Jawatankuasa PIBG Sesi 2015-2017.

Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah menyampaikan ucapan alu-aluan | Foto oleh Carlos George

Majlis perasmian mesyuarat ini bermula kira-kira jam 8.30 pagi, didahului oleh nyanyian Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. Kemudian disusuli oleh ucapan alu-aluan daripada Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy, ucapan Yang Dipertua PIBG KV Tawau dan ucapan perasmian dari Tuan Haji Mansor Bin Haji Palullah.


Abdul Samat
Ketiga-tiga ucapan kali ini menyebut tentang kepentingan pendidikan sebagai wadah* untuk mencapai misi sekolah dan seterusnya mengubah kehidupan seseorang tanpa mengira bangsa dan agama. 

Pengarah KV Tawau yang agak kecewa dengan jumlah kehadiran ibubapa mengulas tentang Anjakan Ke-9 PPPM, iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas. Kerjasama yang dimaksudkan ialah sokongan daripada ibubapa kerana peranan ibubapa adalah sangat besar dalam memastikan objektif pendidikan Vokasional untuk melahirkan pelajar berkompetensi untuk bidang pekerjaan dapat dicapai. "Duit tidak boleh beli pendidikan, ianya perlu ditanam dan disubur sejak dari kecil", tambahnya lagi.

Tuan Haji Mansor dalam ucapannya menyebut tentang kecintaan dan mencadangkan agar ibubapa membuat perubahan positif dengan berkenalan dengan guru-guru supaya hubungan antara ibubapa dan guru lebih akrab. Perubahan seperti ini secara tidak langsung akan membawa kepada peningkatan dalam prestasi anak-anak.


Antara ibubapa yang hadir dalam Mesyuarat Agung PIBG pada kali ini | Foto oleh Carlos George

Ucapan perasmian daripada Tuan Haji Mansor Bin Haji Palullah | Foto oleh Carlos George


Turut diadakan dalam majlis perasmian ini ialah cabutan tiket bertuah untuk memeriahkan majlis.

Tuan Haji Mansor membuat lima cabutan pertama | Foto oleh Carlos George

Mohd Saip Hindia, antara pemenang cabutan bertuah dalam majlis ini. Beliau turut dilantik menjadi Timbalan YDP PIBG untuk sesi 2015-2017 | Foto oleh Carlos George

Gambar kenangan barisan Jawatankuasa PIBG Sesi 2013-2015 bersama barisan pentadbir dan perasmi, Tuan Haji Mansor | Foto oleh Carlos George

Setelah proses pemilihan dijalankan, Jawatankuasa PIBG Sesi 2015-2017 dibarisi oleh YDP, Encik Abdul Samat Bin Akui (YDP PIBG 2013-2015 yang dipilih semula) dan Timbalan YDP, Encik Mohd Saip Bin Hindia bersama lima orang ahli jawatankuasa termasuk seorang Juruaudit Dalaman dari pihak ibubapa. Jawatankuasa PIBG yang bakal diisi oleh pihak kolej akan diumumkan kemudian.


Info Bahasa:
*Wadah menurut Kamus Dewan bermaksud
1. bekas untuk mengisi sesuatu
2. alat, asas, medan, saluran untuk melakukan sesuatu atau menyampaikan sesuatu