Pertandingan Ragbi Piala Pengarah KV Tawau Angkat Martabat Ragbi Peringkat MSSD Tawau

Antara aksi pertandingan semasa perlawanan pertama, KV Tawau (jersi merah) menentang SMK Balung, Tawau (jersi biru) | Foto oleh Carlos George 

Pertandingan Ragbi Piala Pengarah KV Tawau berlangsung buat pertama kalinya bermula tahun ini selepas sambutan Hari Sukan Negara di Padang Kolej Vokasional Tawau pada 10 Oktober 2015. Perlawanan pertama melibatkan pasukan tuan rumah, KV Tawau menentang Pasukan SMK Balung, Tawau.


Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy (depan dua dari kanan) bersalaman dengan para pemain dari SMK Balung, Tawau sambil diiringi oleh Cikgu Mohd Rasi Solong (depan kanan) | Foto oleh Carlos George

Menurut Penyelaras Pertandingan, Cikgu Mohd Rasi Solong, antara objektif pertandingan ini ialah meneruskan kelangsungan permainan ragbi sebagai sukan sepanjang tahun dan menggalakkan kecintaan kepada sukan ragbi dengan mencungkil bakat-bakat baru.

"Kita amat berbangga kerana Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy memberikan sokongan penuh kepada pertandingan ini dan beliau turut memberikan sumbangan peribadi.", tambahnya lagi.


Fazli Herlan berjabat tangan dengan Pengetua Cemerlang SMK Balung, Encik  Matnor Bin Hj Sima | Foto oleh Carlos George 

Pertandingan ini akan berlangsung selama lebih kurang tiga minggu yang bakal menyaksikan aksi ragbi di tiga tempat perlawanan iaitu Padang Kolej Vokasional Tawau, Padang SMK Balung dan Padang MRSM Tun Mustapha, Tawau.

Hanya lima buah sekolah yang akan bertanding dalam pertandingan ini setelah SMK Kuhara dan SMK Kinabutan menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Antara sekolah tersebut ialah MRSM Tun Mustapha, SMK Balung, SMK Abaka, SMK Tawau dan tuan rumah, Kolej Vokasional Tawau. 


Pengarah, Encik Rangiah menyepak bola ragbi sebagai simbolik perasmian Pertandingan Ragbi Piala Pengarah KV Tawau 2015 | Foto oleh Carlos George

Johan pertandingan akan membawa pulang piala pusingan, Piala Pengarah KV Tawau yang akan disampaikan kepada pemenang selepas perlawanan akhir, yang dijangka pada 30 Oktober 2015. 

Ditanya kemungkinan untuk membuka penyertaan pertandingan kepada kelab-kelab ragbi, Cikgu Mohd Rasi menyatakan bahawa itu adalah antara visi yang mungkin dapat direalisasikan pada masa hadapan.


Perlawanan kedua, MRSM menentang SMK Tawau | Foto oleh Carlos George
MRSM lebih banyak menguasai permainan berbanding SMK Tawau dalam perlawanan ini | Foto oleh Carlos George

Gambar kenangan perlawanan pertama bersama Pengarah KV Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy (Klik sini untuk gambar saiz besar) | Foto oleh Carlos George