Blog KV Tawau Terima Anugerah Pertama Dalam Karnival Pembestarian ICT

YBhg. Datuk Haji Nizam DSP Abu Bakar Titingan (kanan) menerima cenderakenangan daripada Guru Besar SJK (C) Chung Hwa, Tawau, Encik Chau Kam Choi (kiri) sambil diiringi oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Encik Darman Shah Hj Asakil (tengah) dalam Karnival Pembestarian ICT Daerah Tawau 2015 | Foto oleh Carlos George

Blog Kolej Vokasional (KV) Tawau yang berplatformkan blogspot.com, dinobatkan sebagai Johan Kategori Laman Sesawang/Blog Sekolah Terbaik Kategori Sekolah Menengah dalam Karnival Pembestarian ICT Daerah Tawau 2015.

Karnival yang berlangsung dari 26 hingga 31 Oktober 2015 ini merupakan anjuran Pusat Kegiatan Guru Daerah Tawau dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau. 

Majlis perasmian penutupan karnival ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Haji Nizam DSP Abu Bakar Titingan, Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah di SJK(C) Chung Hwa, Tawau pada 31 Oktober 2015.


Turut hadir dalam majlis perasmian penutupan ini ialah Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy (duduk kiri)| Foto oleh Carlos George

Dalam ucapan perasmian, Nizam mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang telah berjaya merealisasikan karnival berkenaan. Secara peribadi, beliau berasa bangga kerana dapat melibatkan diri dalam program berkaitan pendidikan di Daerah Tawau kerana pendidikan merupakan kunci yang boleh mengubah kehidupan pelajar.

"Dunia pendidikan masakini semakin mencabar tetapi dengan bantuan elemen ICT dalam pembelajaran, guru dapat menyediakan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan secara tidak langsung, meningkatkan minat pelajar. Ini amat bersesuaian dengan anjakan ke-7 Transformasi Sistem Pendidikan Negara, memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia."

Dalam masa yang sama beliau turut meluahkan rasa syukur kerana Negara Malaysia berada dalam keadaaan yang aman dan meminta guru-guru memantau dan mengingatkan para pelajar tentang penggunaan teknologi ICT untuk kebaikan dan menjauhi pengaruh negatif yang boleh menggugat keharmonian negara. 


Anugerah Laman Sesawang/Blog Sekolah Terbaik Kategori Sekolah Menengah disampaikan oleh Encik Darman Shah | Foto oleh Lim Siew Khing

KV Tawau turut merangkul Naib Johan untuk Penghasilan Dashboard Laman Pembelajaran Virtual FROG Kategori Sekolah Menengah menerusi Cikgu Lim Siew Khing. Dalam kategori permainan, pelajar Pra Diploma SISKOM Tahun 1 telah berjaya mendapat Johan dalam Kategori Literasi Digital, Naib Johan dalam Strategic Games dan tempat ke-3 dalam Kategori Educational Games. 


Anugerah Naib Johan untuk Penghasilan Dashboard Laman Pembelajaran Virtual FROG Kategori Sekolah Menengah yang diterima oleh Cikgu Lim Siew Khing (kanan) | Foto oleh Carlos George 

Selain anugerah yang telah disebutkan, karnival ini turut memberikan beberapa anugerah lain seperti Anugerah Pemimpin ICT, Anugerah Inovasi ICT, Anugerah Digital Story Telling, Anugerah Video Koporat dan Anugerah Guru ICT Cemerlang.


Barisan Juruteknik Sekolah dan FT bersama Pegawai Teknologi Pendidikan, PKG Daerah Tawau, Puan Jumiati Suparno (tengah) | Foto oleh Carlos George


Gambar kenangan juruteknik dan FT Daerah Tawau | Foto oleh Carlos George