Tahniah!! KV Tawau Juara Ragbi MSSD Tawau Buat Kali Ke-3

Antara aksi yang sempat dirakamkan semasa perlawanan di antara Kolej Vokasional Tawau menentang tuan rumah, SMK Kinabutan, Tawau
Pada 4-7 Febuari yang lalu, Pertandingan Ragbi Majlis Sukan-sukan Daerah Tawau 15 Sebelah  telah berlangsung di padang SMK Kinabutan Tawau. Pertandingan ini telah disertai oleh 8 buah sekolah di daerah Tawau termasuk 1 pasukan dari Kolej Vokasional Tawau.
Selaku johan 2014, Pasukan KV Tawau telah diletakkan 1 kumpulan dengan SMK Kuhara, SMK Kinabutan dan SMK Tawau.

Perlawanan pembukaan menentang SMK Kuhara bermula dengan langkah kanan apabila pasukan KV Tawau berjaya memenangi perlawanan dengan melakukan 5 try menghasilkan 25 mata. SMK Kuhara memberi cabaran, namun tiada ruang diberikan oleh barisan pemain KV Tawau untuk pemain mereka melakukan try. Permainan tamat dan berkesudahan dengan kemenangan kepada pasukan KV Tawau dengan mata 25 berbalas 0.

SIAPA DAPAT | Kedua-dua pemain berusaha mendapatkan bola untuk pasukan masing-masing...
SCRUM-HALF | Seperti biasa memakai jersi nombor 9...
Perlawanan kedua menentang pasukan tuan rumah SMK Kinabutan yang juga sudah beberapa kali menjadi johan edisi lepas diramal akan memberi saingan sengit, namun pemain pemain KV Tawau di setiap posisi BACKLINE dan FORWARD sentiasa fokus dan menunjukkan disiplin yang sangat tinggi di dalam padang. Pemain berjaya memberi tekanan dan mengasak di setiap inci kawasan lawan sehingga pasukan lawan terpaksa bertahan sepanjang 60 minit perlawanan. KV Tawau menang bergaya dengan menghasilkan 9 try dengan jumlah mata 55 berbalas 0. Dengan kemenangan tersebut, Pasukan KV Tawau telah menempah tempat ke slot separuh akhir.

Perlawanan terakhir dalam kumpulan A, KV Tawau bertemu dengan SMK Tawau. Perlawanan untuk menentukan Johan Kumpulan A. Percaturan jurulatih merehatkan pemain utama dan memberi peluang kepada pemain junior dan pelapis ternyata berhasil apabila peluang yang diberi tidak disia-siakan oleh pemain, mereka menyerang bertali arus dan bertahan dengan baik di kawasan 22 meter daripada dibolosi lawan. Pasukan KV Tawau akhirnya dapat menghasilkan 4 try dan menang dengan mata 22 berbalas 0.


Huzaini Bin Yusri, antara pemain berbakat besar yang bakal menjadi barisan pemain utama untuk Kejohanan VOKTEK nanti...
 Menanti di separuh akhir ialah naib johan kumpulan B iaitu pasukan SMK Balung. Pasukan KV Tawau bermain dalam keadaan moral dan motivasi yang sangat tinggi apabila dapat mengekalkan momentum kemenangan apabila mudah menewaskan pasukan lawan dengan jumlah mata 52 berbalas 0. Dengan kemenangan tersebut, Impian ke perlawanan akhir menjadi kenyataan dan misi untuk mengekalkan kejuaraan semakin cerah.

Kemalangan seperti ini sememangnya tidak dapat dielakkan dalam permainan ragbi...
Pentas final 2015 menemukan Pasukan KV Tawau dengan pasukan MRSM. Pastinya sejarah 2014 masih terpahat kukuh dalam ingatan apabila pasukan KV Tawau membenam saingan mereka di separuh akhir seterusnya mereka terpaksa berpuas hati ditempat ke 3. Pada edisi kali ini ternyata mereka lebih bersedia dan mantap kerana hanya bolos sekali sepanjang saingan ke final. Pertembungan kali ini dianggap buku dengan ruas kerana kekuatan kedua dua pasukan boleh dianggap seimbang. 

Perlawanan bermula dengan agak sengit, namun pemain-pemain KV Tawau telah menterjemahkan semua game plan dan tactical yang telah dirancang oleh jurulatih di atas padang. Mereka berjaya mengasak dan bertahan dengan cukup baik sehingga menghasilkan 7 try dengan jumlah 37 mata berbalas 0 sehingga tamat perlawanan. Dengan kemenangan tersebut, pasukan KV Tawau berjaya mempertahankan kejuaraan untuk tahun ketiga berturut-turut. Lebih manis, pasukan KV Tawau mengharungi semua perlawanan dengan kemenangan dan langsung tidak dibolosi pihak lawan.

UNTUK KENANGAN | Pengurus dan jurulatih Pasukan Kolej Vokasional Tawau merakamkan gambar kenangan untuk pertandingan MSSD Tawau tahun ini
Laporan bertulis disediakan oleh:
Md Jamree Bin Abd Latief

(Pengurus Pasukan Ragbi KV Tawau)

Baca juga: Kami Juara Lagi (2014), Karnival Ragbi Tawau 2012 Anjuran Bersama IJM (2012), SMT Tawau Juara Ragbi Zon Sabah (2011)


Penghargaan buat Pasukan Ragbi Bawah 18 tahun Kolej Vokasional Tawau ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Ranggiah A/L Muthusamy dalam Majlis Perhimpunan Rasmi Kolej semalam (9 Februari 2015).



Muhammad Arif Bin Mohammad dinobatkan sebagai pemain terbaik Kejohanan Ragbi Bawah 18 Tahun MSSD Tawau 2015
TAHNIAH | Lima orang pelajar ini telah terpilih untuk mewakili Pasukan Bawah 18 Tahun Daerah Tawau dalam Kejohanan Zon Tenggara nanti...
Dan yang lebih manis buat pasukan ini, kejayaan mereka telah dihebahkan ke seluruh Borneo (Sabah/Sarawak) melalui suratkhabar UTUSAN BORNEO (9/2/2015).


KERATAN AKHBAR | Kolej Vokasional Tawau Juara Ragbi MSSD - Utusan Borneo 9 Februari 2015