Jumirah Sertai Sukan Sabah (SAGA) VII 2015

Jumirah Bahri (kanan) semasa Sambutan Hari Hospitaliti 2015 | Foto oleh Carlos George

SAGA VII 2015 di Tawau akan menyaksikan penyertaan kali pertama atlit acara padang, Jumirah Binti Bahri dari Kolej Vokasional Tawau. Jumirah akan bertanding dalam acara Lempar Cakera Perempuan.

Pelajar Program Diploma Pengajian Asuhan Kanak-kanak (HAK) yang berasal dari Kampung Titingan, Tawau ini memulakan langkah 'emas' sejak tahun lepas apabila merangkul pingat emas acara lempar cakera dalam Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat MSS Daerah Tawau 2014. Dalam kejohanan yang sama pada tahun ini, Jumirah berjaya mengekalkan pencapaiannya namun terpaksa melupakan hasrat beraksi di Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat MSS Negeri Sabah yang telah berlangsung di Ranau pada bulan April lepas kerana masalah peribadi.

Bersaing dengan atlit daripada 26 daerah dalam Negeri Sabah, keupayaan sebenar Jumirah akan teruji dan berbekalkan azam untuk mengutip pingat bagi Perbandaran Tawau, Jumirah akan cuba memberikan yang terbaik seterusnya mengharumkan nama kolej dalam acara tersebut.

Turut mengiringi Jumirah mewakili Perbandaran Tawau dalam temasya SAGA ini ialah dua pemain bola sepak Kolej Vokasional Tawau iaitu Mohd Syukri Bin Baharun dan Nik Zulhelmi Bin Mohamad. Mohd Syukri adalah pemain bahagian tengah manakala Nik adalah pemain pertahanan.


Nik Zulhelmi Bin Mohamad (kiri) dan Mohd Syukri Bin Baharun (kanan) | Foto oleh Carlos George

Kedua-dua pemain ini sudah bermain untuk Kejohanan MSS Peringkat Daerah Tawau, VOKTEK Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,  Kejohanan MSS Peringkat Negeri Sabah serta Piala Ketua Menteri Sabah 2015. Mohd Syukri juga pernah bermain untuk Pasukan Negeri Sabah Bawah 15 Tahun dalam Kejohanan MSS Peringkat Kebangsaan 2014.


Baca seterusnya »

KV Tawau Jadi Venue Bola Sepak Lelaki SAGA VII 2015

Banner yang menyatakan venue Bola Sepak Lelaki terpampang di pintu gerbang Kolej Vokasional Tawau

Kolej Vokasional (KV) Tawau dipilih menjadi salah satu lokasi untuk Pertandingan Bola Sepak Lelaki SAGA VII 2015 (Rujuk http://www.saga.sabah.gov.my/venue). Keadaan padang bola sepak telah dibaikpulih dan menurut maklumat lain, KV Tawau turut menjadi lokasi penginapan bagi atlit seramai 557 orang yang bakal menyaksikan bangunan asrama dan kelas dipenuhi dengan atlit dari seluruh Negeri Sabah.

Kepada yang berminat untuk menyaksikan perlawanan yang akan berlangsung di Padang Kolej Vokasional Tawau, sila rujuk jadual perlawanan di http://www.saga.sabah.gov.my/jadual

Daerah Lahad Datu dan Daerah Semporna turut terlibat dalam mengendalikan beberapa jenis sukan seperti Bola Sepak Wanita, Pencak Silat Olahraga, Bola Tampar, Taekwondo dan Karate. Semua sukan yang lain akan berlangsung di Tawau.




Serba Sedikit Mengenai SUKAN SABAH (SAGA)

Sukan Sabah (Sabah Games) atau lebih dikenali dengan singkatan SAGA yang memasuki edisi ke 7 pada tahun ini adalah acara sukan berprestij anjuran Kerajaan Negeri Sabah. Penganjuran SAGA ini telah dipersetujui oleh Kerajaan dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada 5 Mac 2003. Kejohanan SAGA diadakan secara dwi-tahunan iaitu berselang-seli dengan Sukan Malaysia (SUKMA). 

SAGA diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2003 di Kota Kinabalu, SAGA II pada tahun 2005 juga dilangsungkan di tempat yang sama. Selepas itu, SAGA mula dianjurkan dikawasan lain dimana pada tahun 2007, SAGA III telah berlangsung di Tawau manakala SAGA IV di Sandakan pada 8 - 13 Jun 2009. Pada 5 - 11 Jun 2011, Keningau menjadi tuan rumah untuk SAGA V. SAGA kembali ke Kota Kinabalu dalam edisi yang ke-VI (2 - 7 Jun 2013).

Penganjuran SAGA I, II, III dan IV melibatkan penyertaan enam (6) zon di Negeri Sabah iaitu Pantai Barat Selatan, Sandakan, Tawau, Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas dan Pedalaman Bawah. Tetapi bermula pada penganjuran SAGA IV, Sandakan 2009, format penyertaan diubah yang menyaksikan penglibatan dari semua 26 daerah di Sabah (Rujuk dalam laman web SAGA di http://www.saga.sabah.gov.my/info-saga).

Penyertaan bagi sukan ini adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sabah dan berumur 21 tahun ke bawah, kecuali dinyatakan dalam peraturan pertandingan mengikut jenis sukan.

Sebanyak 11 jenis sukan berpasukan akan dipertandingkan termasuklah sukan bola jaring, bola sepak lelaki, bola sepak wanita, bola keranjang lelaki, bola tampar lelaki, bola tampar wanita hoki lelaki, hoki wanita, ragbi lelaki, sepak takraw lelaki dan sepak takraw wanita. Sukan Sabah (SAGA) VII turut mempertandingkan 20 jenis sukan lain.


Baca seterusnya »

Sepak Takraw Dan Ragbi Mara Ke Suku Akhir

Pasukan Sepak Takraw Kolej Vokasional Tawau bersama jurulatih dan pengurus | Foto oleh Aras Japar

Hasil daripada latihan yang gigih dalam masa hampir satu bulan, Pasukan Sepak Takraw dan Pasukan Rabgi Kolej Vokasional (KV) Tawau berjaya mara ke peringkat suku akhir dalam Karnival VOKTEK Peringkat Kebangsaan yang sedang berlangsung di Zon Utara (Kedah/Perlis).


Para pemain memberikan gaya istimewa sebelum turun dalam perlawanan pertama | Foto oleh Aras Japar
Keputusan perlawanan untuk semua kumpulan (sila klik untuk perincian) | Foto oleh Aras Japar

Pasukan Sepak Takraw yang beraksi di Dewan Kompleks Sukan MSN, Kangar, Perlis bakal bertemu dengan Pasukan KV Jasin (Zon Melaka/Negeri Sembilan) dalam perlawanan suku akhir.


Semasa menentang pasukan KV Wakaf Tembusu | Foto oleh Aras Japar

Pasukan Sepak Takraw menamatkan saingan peringkat kumpulan dalam Kumpulan B di tempat kedua setelah tewas kepada Pasukan KV Wakaf Tembusu (Zon Kelantan/Terengganu). KV Tawau mengutip sembilan mata dengan menewaskan Pasukan KV Balik Pulau (Zon Pulau Pinang), KV Kota Tinggi (Zon Johor) dan KV Bintulu (Zon Sarawak).


Pasukan Ragbi KV Tawau dihadapan poster mega venue perlawanan ragbi | Foto oleh Md Jamry Abd Latief
Pasukan Ragbi pula akan bertemu dengan pasukan dari Zon Pahang (belum dimaklumkan nama kolej) dalam peringkat suku akhir setelah menamatkan saingan peringkat kumpulan dalam Kumpulan A, juga di tempat kedua. Pasukan KV Tawau menewaskan Pasukan KV Segamat (Zon Johor) dengan jaringan 12-5, menewaskan Pasukan KV Seri Manjung (Zon Perak) dengan jaringan 17-12, menewaskan Pasukan Zon Selangor/WP Kuala Lumpur dengan jaringan 14-0 dan tewas kepada tuan rumah, Pasukan KV Arau (Zon Kedah/Perlis) dengan jaringan 29-0. Pasukan KV Arau, Perlis merupakan juara bertahan Karnival VOKTEK Peringkat Kebangsaan pada tahun lepas.


Jadual pertandingan suku akhir | Foto oleh Md Jamry Abd Latief
Gambar kenangan dihadapan koc Kolej Vokasional Arau | Foto oleh Md Jamry Abd Latief

Semoga kedua-dua pasukan ini akan mara ke peringkat seterusnya...


Baca seterusnya »

Penyelenggaraan Komputer dan Sistem Rangkaian di SK Melati, Tawau

SERIUS | Pelajar sedang membuka papan kekunci salah sebuah laptop yang diselanggara | Foto oleh Carlos George

Projek Penyelenggaraan Komputer dan Sistem Rangkaian di SK Melati, Tawau ini adalah salah satu projek yang dijalankan di bawah Program Sekolah Angkat Kolej Vokasional Tawau, semalam, 21 Mei 2015. Projek ini telah dijayakan bersama 22 orang pelajar Program Diploma KSK dengan guru/pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Dibawah projek ini, pelajar KSK melakukan penyelenggaran keatas perkakasan komputer seperti tetikus, papan kekunci, sistem operasi dan turut membuat pemeriksaan terhadap sistem rangkaian dalam makmal komputer SK Melati.


Encik Sulaiman Wabi (kiri) bersama Cik Lim Siew Khing (tengah) dan Encik Wan Shamsuhaimi (kanan) sedang berkongsi maklumat mengenai keadaan semasa SK Melati, Tawau
Kaunter perkhidmatan pemeriksaan peranti komputer riba untuk guru-guru | Foto oleh Carlos George
Pemeriksaan sistem rangkaian dalam makmal...
Seperti program serampang dua mata, pelajar turut mengambil peluang melakukan projek perkhidmatan pemeriksaan peranti komputer riba bagi guru-guru SK Melati untuk Projek Production-Based Education (PBE) mereka.


Adibah Aspah
Penyelaras Program Sekolah Angkat, Adibah Aspah menyatakan bahawa projek kali ini adalah siri yang pertama dan akan disusuli oleh siri yang kedua tidak lama lagi.

Guru lain yang turut sama dalam projek ini ialah Encik Hairuddin dan Cik Aslinah Abdul Majid. Tidak ketinggalan, Juruteknik Komputer, Encik Adam Shah dan pelatih VTO, Encik Mohd Hejiron.

Baca sejarah SK Melati disini: Sejarah SK Melati, Tawau




Baca seterusnya »

Sepak Takraw dan Ragbi Ke Pentas Kebangsaan

Pengarah, Encik Rangiah A/L Muthusamy (barisan belakang kiri) merakam gambar kenangan bersama pasukan ragbi 7S yang mewakili Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bersama jurulatih pasukan, Mohd Rasi Bin Solong (barisan belakang tiga dari kiri) dan jurulatih import dari Borneo Eagles, Nathan (barisan belakang dua dari kiri) | Foto oleh Carlos George

Pasukan Sepak Takraw dan Pasukan Ragbi Kolej Vokasional Tawau akan ke Karnival VOKTEK Peringkat Kebangsaan Kali ke XVIII yang akan berlangsung di Zon Utara (KEDAH/PERLIS) bermula 25 - 30 Mei 2015.

Kedua-dua pasukan dijangka bertolak pada hari Ahad ini, 24 Mei 2015.

Menurut maklumat daripada Laman Facebook Rasmi Karnival VOKTEK Peringkat Kebangsaan Kali Ke XVIII, Sepak Takraw akan beraksi di Kompleks Belia & Sukan Kota Star pada 1-2 April 2015 manakala Ragbi akan beraksi di Padang KV Alor Setar pada 3-4 April 2015.

Semoga kedua-dua pasukan dapat memberikan saingan dan seterusnya mencipta nama dipersada kebangsaan... 



Baca seterusnya »

Jom Kitar Semula Untuk Bantu Dunia...

Hot Cup Maggi menjadi pasu bunga... | Foto oleh Carlos George

Apabila lalu di hadapan Bilik Unit Psikologi dan Kerjaya (UPK) pastinya semua orang akan terpandang cawan ini. Pasu HOT CUP MAGGI..

Menurut maklumat yang saya terima, pasu ini adalah milik Cikgu Kholik Maming...

Walaupun kecil, ini merupakan satu langkah kitar semula yang boleh dilakukan terhadap bekas HOT CUP Maggi yang sememangnya mempunyai banyak peminat di Kolej Vokasional Tawau...

Kalau ada idea lain... Bolehlah kongsikan disini.. Cara lain untuk mengitar semula bekas HOT CUP Maggi...



Baca seterusnya »

Projek PBE Asah Kemahiran Pelajar Diploma Kolej Vokasional Tawau

Antara poster promosi perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang 3 minggu kursus PBE berlangsung... | Foto oleh Carlos George

PBE atau "Production-Based Education" merupakan salah satu kursus wajib bagi pelajar Diploma Kolej Vokasional untuk meningkatkan nilai tambah dan persediaan ke arah membentuk usahawan. Antara objektif PBE ialah untuk menghasilkan produk vokasional yang boleh dijual.


Perkhidmatan SPA untuk wanita yang ditawarkan oleh Program Kosmetologi

Di Kolej Vokasional Tawau, projek PBE sedang berlangsung dengan hampir semua program menawarkan produk berasaskan perkhidmatan. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah perkhidmatan menyelenggara komputer oleh Program KSK dan perkhidmatan SPA bagi wanita dari rumah ke rumah oleh Program HSK.

Selain daripada produk berasaskan perkhidmatan, terdapat juga projek lain yang membantu keceriaan kolej. Projek yang dimaksudkan ialah projek yang dilakukan oleh Program Diploma MPI, dimana pelan sekolah diterjemahkan dalam bentuk binaan "mini" menggunakan simen, bata dan bahan-bahan lain. 


Pelan sekolah yang masih boleh dirujuk berdekatan pondok jaga dibahagian blok vokasional | Foto oleh Carlos George
Projek PBE Program Diploma MPI yang sedang dalam peringkat pembinaan di blok pentadbiran.. | Foto oleh Carlos George
Antara pelajar yang menjayakan projek PBE mereka untuk semester ini... | Foto oleh Carlos George

Seperti yang pernah diucapkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, "Konsep Kurikulum Kolej Vokasional memberi fokus kepada Production Based Education (PBE), Competency Based Education (CBE) dan On-Job Training (OJT) untuk membolehkan lulusan vokasional mendapat permintaan dalam pasaran kerja".


Baca seterusnya »

Mesyuarat Kajian Semula Unjuran Kolej Vokasional Zon Sabah dan Sarawak

Proses menandatangani pelunjuran yang telah dipersetujui bersama antara pihak kolej yang diwakili oleh Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy (kiri) dan BPTV yang diwakili oleh Timbalan Pengarah Pembangunan PTV, Puan Hajah Latifah Binti Mohd Isa (kanan) | Foto oleh Carlos George

Mesyuarat Kajian Semula Unjuran Kolej Vokasional Zon Sabah dan Sarawak yang telah berlangsung di Hotel Marco Polo, Tawau pada 12 - 14 Mei 2015 menghimpunkan 15 buah kolej dari Zon Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat ini bertujuan untuk mengkaji semula pelunjuran kolej vokasional dari segi bilangan pensyarah, bangunan, bengkel dan bilangan pelajar bagi tahun 2016 hingga 2020. 


Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Tawau, Encik Azman Mansur turut hadir dalam mesyuarat selam tiga hari ini... | Foto oleh Carlos George

Mesyuarat yang merangkumi tiga proses bermula dari pembentangan, perbincangan dan majlis menandatangani ini, berakhir dengan ucapan pengulungan daripada Timbalan Pengarah Pembangunan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV), Pn. Hajah Latifah Binti Mohd Isa. 

Dalam ucapannya, Pn. Hajah Latifah menekankan tentang pentingnya menjaga integriti kolej masing-masing.


Timbalan Pengarah Pembangunan PTV, Puan Hajah Latifah Binti Mohd Isa memberikan ucapan penutupan semasa penutupan mesyuarat | Foto oleh Carlos George
Suasana semasa majlis penutupan mesyuarat.. | Foto oleh Carlos George

Semua kolej diwakili oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah Akademik.

Baca seterusnya »

Tema Hari Guru 2015: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

Surat Hebahan daripada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti KPM yang boleh dilihat di: http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/files/Hari%20Guru%202015.pdf

1. DEFINISI

1.1 GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara. Guru merupakan insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.

1.2 MEMBINA ILMU: Individu yang membangunkan dan membentuk atau mewujudkan kualiti pada setiap insan dan keilmuan. Dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu muridi/pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (kognitIf).

1.3 MENYEMPURNAKAN: Menjadikan sempurna atau lengkap. Warga pendidik berperanan untuk menyempurnakan keberhasilan murid berpandukan enam aspirasi murid yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

1.4 AKHLAK: Budi pekerti dan nilai-nilai murni sejagat yang perlu ada dan dihayati oleh setiap modal insan bagi mendepani cabaran dan perubahan dalam menjalani kehidupan.

2. HURAIAN

2.1 Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan bertaraf dunia. Warga Pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.

2.2 Peranan guru tidak hanya terbatas kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan murid serta penggunaan bahan sumber secara berkesan.

2.3 Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013-2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru, guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.




Baca seterusnya »

Malu Didenda Punca Berjaya

Datuk Mary Yap
PUTRAJAYA 12 Mei - Pengalaman didenda mencuci tandas sekolah ketika belajar di Sekolah Kebang­saan St. Patrick antara kenangan yang paling tidak dapat dilupakan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Menceritakan semula pengala­mannya itu, Mary Yap berkata, beliau yang ketika itu murid darjah satu terpaksa menjalani hukuman tersebut selepas didapati bersalah membuat bising dalam bilik darjah bersama rakan-rakannya.

Beliau berkata, biar pun terkesan dengan hukuman tersebut pada mulanya, perasaan tersebut hilang selepas guru yang menjatuhkan hukuman tersebut menjelaskan denda yang diberikan itu bertujuan mendidik dan bukan menghukum.

“Saya masih ingat guru yang ber­jaya mendidik saya sehingga men­jadi insan yang berjaya iaitu Cikgu Betty Power yang berasal dari Aus­tralia, didikan beliau memberikan kesan sangat mendalam kepada saya kerana beliau memainkan peranan sebagai pemimpin dengan be­gitu baik dalam soal menunjukkan keikhlasan, kepimpinan, disiplin dan kejujuran.

“Malah ketika saya didenda men­cuci tandas dahulu, beliau men­jelaskan kenapa hukuman tersebut dikenakan dan ini menyebabkan kita tidak berasa malu sebab beliau tegur supaya kita berubah ke arah positif,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mary Yap, kesan daripada didikan tegas itu terbawa-bawa sehingga memasuki profesion perguruan kira-kira 30 tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai seorang yang tegas sepanjang bergelar guru, Mary Yap berkata, beliau menggunakan kaedah menghukum sambil mendidik bagi mendenda pela­jarnya yang membuat kesalahan.

“Ketika saya menjadi pengetua dahulu, saya memberi pilihan ke­pada pelajar hukuman yang mereka hendak dan hukuman yang paling mereka takut ialah dibawa ber­jumpa dengan ibu dan bapa masing-masing.

“Pernah sekali salah seorang pela­jar saya melakukan kesalahan dan saya bertindak memanggil bapanya yang bertugas sebagai pegawai ber­uniform di salah sebuah pasukan ke­selamatan, belum habis saya cakap tiba-tiba budak itu sudah ditampar sebab bapanya malu dengan per­buatan anaknya itu ,” katanya.

Katanya, biar pun tindakan itu agak mengejutkannya, selepas nasihat diberikan kepada pelajar itu keadaan menjadi berubah sayu apabila dia mula insaf dan meminta maaf kepada ibu bapanya.
Dalam pada itu, Mary Yap berkata, sebagai pendidik, guru terutamanya yang menjawat tugas sebagai pemimpin perlu pandai mengambil hati pelajar dan guru bawahan dengan menghargai usaha yang dilakukan mereka.

“Jika ada pelajar atau guru seko­lah saya yang membawa kejayaan kepada sekolah atau hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malay­sia (SPM) saya selalunya akan be­lanja mereka makan dan benda yang selalu mereka minta ialah ayam goreng sebab kebanyakan pelajar saya tidak berkemampuan dan hidangan tersebut boleh dikategorikan sebagai mahal.

“Kita perlu menghargai mereka semua ini kerana sebagai pengetua kita tidak boleh buat semua benda, perlu bantuan guru lain dan pelajar untuk bekerjasama,” katanya.

Mengimbau semula pengala­mannya sebelum terlibat dalam arena politik, katanya, beliau per­nah berkhidmat sebagai Pengetua Sekolah dan Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Teknik Tawau sebelum bersara pada tahun 2007.

Selain itu, katanya, beliau juga pernah dinobat sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012 dan dilantik seba­gai juru runding kanan di Institut Aminuddin Baki selepas bersara.

Menyentuh mengenai Hari Guru yang bakal disambut pada minggu hadapan, beliau meminta supaya setiap guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik tetapi juga bertanggungjawab memimpin dalam bilik darjah.

Jelasnya, guru perlu menun­jukkan teladan yang baik kepada pelajar supaya mereka menjadi in­san yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Katanya lagi, tanggungjawab sebagai guru sangat besar kerana mereka boleh diibaratkan sebagai penentu masa depan setiap anak didik masing-masing.


Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/malu-didenda-punca-berjaya-1.91623#sthash.LKs4OC9J.dpuf


Baca seterusnya »

Guru pemangkin keseimbangan akademik, akhlak cemerlang

KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan (dua dari kiri), menyampaikan cenderamata kepada Idris (dua dari kanan), sambil diperhatikan Ketua Persatuan Penulis Kuala Lumpur, Datuk Amiruddin Md. Ali dua dari kanan), Datuk Soohaimi Shahdan (kanan) dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Antarabangsa Rohana Kamaruddin (kiri), pada majlis Gema Puisi Guru 2015. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab guru sebagai pendidik, pembimbing dan pembentuk akhlak murid tidak akan terhenti sampai bila-bila. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata namun, guru pada masa kini berdepan cabaran yang lebih hebat susulan perkembangan teknologi, pendedahan yang lebih luas dalam kalangan murid dan harapan ibu bapa yang berbeza membawa kepada perlunya pendekatan yang lebih dinamik.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin guru tetap akan boleh memainkan peranan dengan berkesan dan Kementerian Pendidikan akan sentiasa menyokong usaha mereka. "Tema Hari Guru tahun ini adalah amat tepat dan sesuai kerana ia menggambarkan peranan guru yang cukup penting tanpa mengira waktu atau zaman. 

"Sebelum ini saya pernah menyebut kepentingan formula A2 (akademik dan akhlak) iaitu mencapai keseimbangan dari segi akademik dan akhlak demi mencapai kecemerlangan dalam kalangan pelajar. 

"Saya percaya bahawa gurulah yang memainkan peranan dalam membawa kepada keseimbangan demi merealisasikan kecemerlangan itu," katanya. Kerjaya yang suci dan mulia Kemuncak sambutan Hari Guru tahun ini akan diadakan Dewan Wawasan, Jitra, Kedah yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Sabtu ini. Idris berkata, beliau sentiasa mengatakan bahawa guru adalah kerjaya yang suci dan mulia kerana mereka ibarat pelukis dan anak muridnya umpama kain putih yang bakal dicorakkan dengan ilmu dan akhlak melalui didikan yang diberi. 

"Mungkin inilah sebabnya saya tertarik hati dan ditakdirkan berkahwin dengan seorang guru. "Ia memberi saya peluang secara dekat melihat bagaimana isteri saya memainkan peranan sebagai guru dengan bersungguh-sungguh di sekolah dan pada masa sama sebagai seorang ibu kepada lima orang cahaya mata kami," katanya. 

Berkongsi pengalaman menyambut hari guru sewaktu bergelar pelajar, Idris berkata hari berkenaan memberi peluang kepada beliau dan rakan untuk membuat acara persembahan kepada guru termasuk membaca sajak, puisi dan menyanyi untuk mereka. Katanya, walaupun setiap hari beliau dididik supaya menghormati dan menyayangi guru, Hari Guru dianggap istimewa kerana hanya pada hari berkenaan pelajar berpeluang menyambut guru secara khusus. 

Main peranan besar

"Saya berasa seronok apabila dapat melihat guru menyanyi lagu tema Hari Guru, membaca ikrar dan melakukan persembahan lain," katanya. Idris berkata, Cikgu Ali atau turut dikenali sebagai Ali Uban, iaitu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh di Terengganu, Cikgu Lau Hut Yee, guru Sains dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak adalah dua guru yang memainkan peranan besar kepadanya sewaktu bergelar pelajar. 

Katanya, Cikgu Ali adalah insan yang mendorongnya untuk terus cemerlang hingga ke sekolah berasrama penuh (SBP) STAR. "Beliau juga rapat dengan keluarga saya dan mendorong mereka supaya menyokong hasrat saya untuk ke SBP. "Cikgu Lau Hut Yee pula mengajar dengan penuh komitmen, bersemangat dan tanpa penat lelah. Kami masih berhubung dari semasa ke semasa dan saya menjumpai beliau baru-baru ini ketika sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.

Selanjutnya di: http://www.bharian.com.my/node/54700


Baca seterusnya »

Kamalanathan Tidak Lupakan Jasa Cikgu

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kamalanathan | Foto oleh BERNAMA (http://mynewshub.cc/)

PUTRAJAYA 12 MEI - WALAUPUN telah mening­galkan alam persekolahan kira-kira 30 tahun lalu, tetapi beberapa guru yang pernah mengajarnya masih segar dalam ingatan Timbalan Menteri Pendidi­kan, P. Kamalanathan.

Antaranya, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing, Rawang di Selangor yang digeruni kerana sering membawa rotan.

Mengakui beliau sebagai seorang murid yang agak nakal dan sederhana pencapaian di sekolah, Kamalanathan berkata, beliau ka­dang-kala merungut mengenai se­gelintir guru yang terlalu tegas.

Walaupun berasa kurang senang, Kamalanathan kini berasa terhutang budi apabila mengenang jasa yang ditaburkan guru ke atas hidupnya.

“Saya bukan seorang murid yang cemerlang tetapi cikgu-cikgu sen­tiasa memberi motivasi dan meng­galakkan saya berusaha lebih ber­sungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Kamalanathan berkata, kefasihannya berbahasa Melayu umpamanya merupakan hasil dorongan dan motivasi daripada seorang guru ba­hasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Sinaran Budi di Rawang, Selangor.

“Saya begitu terpegun apabila cikgu ini berhujah dalam bahasa Melayu dengan begitu baik sekali se­hingga saya mahu mencontohinya.

“Malangnya, sehingga hari ini saya masih gagal berhujah sebaik cikgu subjek Bahasa Melayu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, beliau berbangga dengan guru-guru Malaysia yang berdedikasi dalam tugas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk pelajar tanpa disedari sesiapa.

“Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang cikgu mem­bawa seorang murid yang tercedera ke klinik dengan menggunakan kenderaan sendiri.

“Selepas murid dihantar pu­lang ke rumah dari klinik, cikgu ini bergegas pulang ke sekolah untuk menyiapkan tugas yang belum se­lesai. Cikgu ini hanya berpeluang membersihkan kereta yang dikotori darah selepas tugas di sekolah sele­sai,” katanya.

Menurutnya, guru pada zaman ini berdepan pelbagai cabaran ter­masuk tekanan daripada ibu bapa. “Jika saya mengadu kepada emak bahawa cikgu merotan saya, ibu saya tidak akan teragak-agak untuk merotan saya sekali lagi atas kesala­han yang saya lakukan.

“Keadaan sekarang berbeza kerana apabila anak dirotan, ibu bapa mungkin akan berkunjung ke sekolah ber­sama peguam untuk mencari cikgu yang merotan anak mereka,” katanya.

Kamalanathan berkata, pada ketika ramai orang menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor bagi menyelamatkan nyawa, cikgu sebenarnya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

“Seorang doktor mungkin merawat banyak pesakit, tetapi seorang guru akan memberi impak kepada satu generasi.

“Cikgu bukan sahaja mem­berikan ilmu kepada pelajar, mala­han membentuk akhlak mereka,” katanya.


Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/kamalanathan-tidak-lupakan-jasa-cikgu-1.91620#sthash.vt6Ad6Bd.dpuf


Baca seterusnya »

Tapak Perkhemahan Bernyawa Semula

Tapak perkhemahan Kolej Vokasional Tawau yang terletak di hujung padang, dikelilingi oleh pokok yang rendang | Foto oleh Carlos George

Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah, Daerah Tawau akan mengadakan Kursus Kepimpinan Manik Kayu Peringkat 1 untuk semua pemimpin dan guru penasihat pengakap dalam Derah Tawau di Tapak Perkhemahan Kolej Vokasional Tawau.

Kali terakhir tapak perkhemahan ini digunakan ialah pada tahun 2012 oleh Persatuan Pengakap dan Puteri Islam.


Antara pokok pakis yang mula tumbuh disekitar kawasan perkhemahan | Foto oleh Carlos George

Tapak perkhemahan termasuk tandas telahpun diselanggarakan oleh Encik Buareng Rahima bersama para pelajar Kursus Teknologi Pembinaan bermula 5 Mei yang lepas.


Hanya lima buah khemah tetap yang disediakan di tapak perkhemahan ini. 
Paip air dan tempat memangang turut tersedia untuk kegunaan rombongan perkhemahan...



Baca seterusnya »

Maggi TOM YAM Jadi Pilihan Alas Perut

Pelajar Program Perkhidmatan Asuhan Kanak-kanak (PAKK) menikmati Maggi Tom Yam Cup semasa rehat tengahari di salah satu pondok cendawan di Blok Pentadbiran | Foto oleh Carlos George

Sesuai dengan tagline "Cepat dimasak, sedap dimakan...", beberapa orang pelajar Kolej Vokasional (KV) Tawau memilih untuk menikmati mee segera MAGGI sebagai alas perut semasa rehat tengahari. 

HOT CUP TOM YAM... Menjadi pilihan ramai | Foto oleh Carlos George

Ditanya tentang pilihan perasa, kebanyakan pelajar memilih perasa TOM YAM yang disifatkan mencuri selera mereka.

MAGGI Cup ada dijual di COOPMART Kolej Vokasional Tawau beserta dengan air panas percuma.

MAGGI Cup boleh didapati pada sudut kanan bahagian belakang COOPMART Kolej Vokasional Tawau | Foto oleh Carlos George

Walau bagaimanapun, dinasihatkan agar para pelajar tidak menjadikan mee segera sebagai amalan setiap hari kerana terdapat beberapa bahan kimia yang boleh mempengaruhi kesihatan kita. 

Tetapi tidak dinafikan bahawa, mee segera adalah makanan yang mengandungi karbohidrat namun turut mengandungi natrium yang sangat tinggi selain pelbagai penambah perisa seperti MSG dan rendah khasiat seperti serat, vitamin dan galian.

Baca juga:
10 sebab Harus Kurangkan Makan Mee Segera (http://hafizamri.com/10-sebab-harus-kurangkan-makan-mee-segera/)
Kesan Maggi Kepada Kesihatan (http://www.carigold.com/portal/forums/archive/index.php/t-392257.html)


Baca seterusnya »

Pelajar Undi Anugerah Guru

Notis pengundian Anugerah Guru sempena Hari Guru 2015

Sambutan Hari Guru semakin hampir... Tanggal 16 Mei akan tiba tidak lama lagi...

Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kolej Vokasional Tawau pada tahun ini, Unit Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sedang menjalankan proses pengundian untuk beberapa anugerah yang akan disampaikan kepada guru/pensyarah yang menerima undian tertinggi.

Pada tahun lepas, hanya lima anugerah yang ditawarkan iaitu Anugerah Guru Paling Dedikasi, Anugerah Guru Paling Popular, Anugerah Guru Paling Kreatif dan Inovatif, Anugerah Guru Paling Happening dan Tokoh Guru.

Namun, pada tahun ini tiada satu pun anugerah yang dikekalkan kerana enam anugerah yang diundi adalah anugerah yang baru.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada Unit MPP yang berusaha untuk memberikan penghargaan kepada guru-guru/pensyarah-pensyarah Kolej Vokasional Tawau.



Baca seterusnya »